KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan kutipan duti dan cukai berjumlah RM47.82 juta bagi import produk bunga api dan mercun sepanjang tempoh Januari 2023 hingga Mei 2026.
Kementerian Kewangan berkata, dalam tempoh tersebut, China dan Hong Kong merupakan negara pengeksport tertinggi produk bunga api dan mercun ke Malaysia.
Katanya, kesemua hasil kutipan duti dan cukai bagi produk berkenaan telah dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan selaras dengan Perkara 97(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 [P.U.(A) 117/2023], bunga api termasuk mercun dikategorikan sebagai barangan yang dilarang pengimportannya ke dalam Malaysia kecuali mengikut cara yang diperuntukkan.
“Larangan pengimportan yang ditetapkan ini bermaksud bahawa sebarang aktiviti mengimport produk tersebut hendaklah mendapatkan kelulusan Lesen Import daripada Ketua Polis Negara selaras dengan peruntukan di bawah Akta Bahan Letupan 1957 [Akta 207],” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Ia bagi menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai jumlah import mercun serta kutipan duti Kastam mengikut negara asal sejak Januari 2023 dan sama ada kerajaan bercadang menarik balik kebenaran penjualan mercun berikutan gangguan ketenteraman serta pencemaran suasana Hari Raya Aidilfitri dengan budaya luar yang tiada kaitan dengan ajaran Islam.
Menurut kementerian, selain kawalan import, bunga api dan mercun juga merupakan barangan yang dikenakan duti import pada kadar antara lima hingga 50 peratus serta cukai jualan pada kadar 10 peratus mengikut kod tarif barangan berdasarkan Perintah Duti Kastam 2025 [P.U.(A) 384/2025] dan Perintah Cukai Jualan (Kadar Cukai Jualan) 2025 [P.U.(A) 170/2025].
Berhubung cadangan menarik semula kebenaran penjualan produk bunga api dan mercun di pasaran, kementerian itu memaklumkan bahawa keputusan atau penelitian semula terhadap kebenaran tersebut tertakluk sepenuhnya di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Kementerian Kewangan melalui peranan JKDM akan terus memperketat kawalan pengimportan produk tersebut di pintu masuk negara bagi memastikan rantaian bekalan barangan mematuhi syarat kelulusan lesen yang telah ditetapkan.
“Langkah ini sekali gus mengekang kemasukan produk berbahaya secara haram yang boleh mengancam ketenteraman masyarakat,” katanya. – UTUSAN










