PARLIMEN: 3,404 pelatih sertai PLKN 3.0 setakat ini

PARLIMEN: 3,404 pelatih sertai PLKN 3.0 setakat ini

ADLY ZAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 3,404 pelatih telah menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 setakat ini di tiga kem latihan di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, daripada jumlah itu, seramai 1,202 pelatih mengikuti latihan pada tahun lalu, manakala 2,202 lagi menyertainya pada pertengahan tahun ini.

“Jumlah keseluruhan setakat ini ialah 3,404 orang. Kita menjangkakan sehingga penghujung tahun ini, seramai 4,200 pelatih dapat dilatih di tiga kem latihan sedia ada.

“Untuk makluman, Kementerian Pertahanan (Mindef) juga sedang berusaha melengkapkan sembilan lagi kem latihan dan menjelang tahun hadapan, kita menjangkakan kapasiti latihan dapat ditingkatkan sehingga 9,200 pelatih,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Khlir Mohd. Nor (PN-Ketereh) mengenai jumlah pelatih yang telah mengikuti PLKN 3.0.

Mengulas lanjut, Adly berkata, pelatih yang tidak dapat menghadiri latihan atas sebab tertentu akan diberikan peluang untuk mengikuti sesi latihan berikutnya.

“Ketidakhadiran pelatih berlaku atas pelbagai faktor termasuk masalah kesihatan, melanjutkan pelajaran dan sebab-sebab lain.

“Kita mempunyai proses tertentu untuk memastikan mereka yang berdepan masalah kesihatan sementara, misalnya dapat mengikuti latihan pada sesi akan datang,” katanya.

Mengulas penyertaan secara sukarela, Adly berkata, sebelum ini terdapat beberapa kes membabitkan jumlah kehadiran yang melebihi kapasiti ditetapkan sehingga menyebabkan sebahagian peserta tidak dapat mengikuti latihan.

“Memang terdapat satu kes sebelum ini apabila jumlah peserta yang hadir melebihi kapasiti yang ditetapkan, sekali gus menimbulkan kekecewaan dalam kalangan mereka yang tidak dapat menyertai latihan.

“Bagaimanapun, sistem itu telah diperbaiki dan pendaftaran bagi peserta sukarela kini dibuat lebih awal supaya jumlah sebenar dapat dikenal pasti dan semua peserta dapat ditempatkan di kem latihan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Pada Februari lalu, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) memaklumkan PLKN 3.0 Siri 2 Tahun 2026 dilaksanakan selama 45 hari bermula 25 April hingga 8 Jun sebagai sebahagian daripada empat siri latihan yang dijadualkan tahun ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN