PARIT: Senjata tajam termasuk parang panjang dan mesin bitcoin antara 830 unit barang kes jenayah yang dilupuskan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, hari ini.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, pelupusan itu melibatkan pelbagai barang kes daripada 60 kertas siasatan yang direkodkan antara tahun 2024 hingga 2026.
Katanya, jumlah nilai keseluruhan barang kes yang dilupuskan itu dianggarkan berjumlah RM252,200.
“Majlis pelupusan barang kes itu diadakan bagi melupuskan barangan yang telah menerima perintah pelupusan dan kelulusan daripada pihak berkuasa.
“Antara kategori utama yang dilupuskan ialah peralatan perlombongan bitcoin haram, barang kes kontraban, perjudian dan pelbagai barang kes am yang telah selesai melalui proses siasatan dan perundangan,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan IPD Perak Tengah di Seri Iskandar, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Senior Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid dan Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Alam Sekitar, Hazizi Esa.
Mengulas lanjut beliau berkata, berdasarkan rekod, sebanyak 554 unit mesin bitcoin, 24 unit ‘desktop switch’, 24 unit router internet dan 26 unit kabel dilupuskan.
Katanya, kesemua barang kes bitcoin itu melibatkan 25 kertas siasatan yang diselesaikan dalam tempoh tiga tahun sejak 2024.
“Selain itu, pelupusan turut melibatkan pelbagai barang kes seperti motosikal, peralatan perjudian, rokok tidak bercukai dan peralatan yang digunakan dalam aktiviti jenayah lain,” katanya.
Pada tahun 2024, IPD Perak Tengah melupuskan sebanyak 985 mesin dan peralatan perlombongan bitcoin bernilai kira-kira RM1.97 juta yang dirampas di sekitar daerah itu.
Semua mesin dan peralatan yang dilupuskan itu membabitkan kes rampasan antara tahun 2022 hingga April 2024. – UTUSAN










