TEMERLOH: Ancaman jenayah siber semakin menggerunkan apabila kerugian akibat penipuan dalam talian di Pahang dilaporkan mencecah lebih RM30.6 juta hanya dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, sekali gus membayangkan perubahan landskap jenayah daripada samun dan pecah rumah kepada perangkap scam di hujung jari.
Lebih membimbangkan, sebanyak 1,300 kes penipuan siber direkodkan di seluruh negeri sehingga penghujung Mei lalu, meningkat hampir 19 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, menjadikan jenayah komersial sebagai ancaman baharu yang semakin sukar dibendung.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, trend jenayah semasa menunjukkan kes jenayah konvensional semakin menurun, namun peningkatan ketara jenayah komersial khususnya penipuan secara dalam talian menjadi cabaran utama polis.
“Kalau dahulu kita banyak berdepan kes samun, ragut, curi dan pecah rumah tetapi kini jenayah komersial termasuk penipuan siber semakin meningkat dengan ketara. Sehingga penghujung Mei tahun ini, sebanyak 1,300 kes dilaporkan di Pahang dengan jumlah kerugian mencecah RM30.639 juta,” katanya selepas merasmikan Balai Polis Kuala Krau di sini, semalam.
Balai baharu bernilai lebih RM20 juta itu dibina bagi menggantikan balai lama yang cukup sinonim dengan sejarah perjuangan menentang komunis termasuk tragedi dikenang sebagai ‘Subuh Berdarah’ pada 11 September 1949.
Menurut Yahaya, perubahan bentuk ancaman jenayah menuntut polis turut mengubah strategi penguatkuasaan mengikut perkembangan teknologi semasa. – UTUSAN










