Nyanyian pilihan kedua, Nourul Wahab mahu Zachary jadi juruterbang dahulu - Utusan Malaysia

Nyanyian pilihan kedua, Nourul Wahab mahu Zachary jadi juruterbang dahulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Nourul Wahab mahu anaknya, Zachary mengutamakan cita-cita menjadi juruterbang terlebih dahulu, manakala kerjaya sebagai penyanyi diletakkan sebagai pilihan kedua.

Nourul atau Noorulhuda Abdul Wahab, 49, berkata, keputusan itu dibuat bukan bertujuan menghalang minat anaknya, tetapi mahu memastikan bidang akademik dan masa depan remaja berusia 13 tahun itu lebih terjamin.

“Dekat sekolah pun memang dia selalu melakukan persembahan. Kami tidak kisah tetapi dia ini sebenarnya berminat mahu menjadi juruterbang.

“Jadi, kami lebih kepada menjuruskan dia untuk menjadi juruterbang dahulu. Kemudian kalau dia mahu menyanyi, itu adalah pilihan kedua,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambah penyanyi lagu Kerana Terluka ini, dia dan suami sentiasa mengamalkan sikap terbuka dengan memberikan gambaran jelas mengenai realiti serta pendapatan bagi kedua-dua kerjaya berkenaan demi masa depan anaknya itu.

“Kami tidak kisahlah kalau dia mahu menjadi penyanyi kerana kami suami isteri memang jenis memberikan kebebasan kepada dia. Kami memang beri gambaran kepada dia, jika menjadi artis begini dan jika mahu menjadi juruterbang begini.

“Jadi, kami memberikan pilihan kepada anak-anak untuk berfikir dan memutuskan sendiri. Apabila dia sudah membuat keputusan, dia perlu bertanggungjawab atas keputusan yang dibuat itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nourul mengakui dia terkejut melihat kecenderungan Zachary yang sangat meminati lagu-lagu tradisional Malaysia serta karya-karya popular milik Allahyarham Datuk Sudirman Arshad selain menghafal lagu-lagunya sendiri.

“Saya terkejut juga dia suka dengan lagu tradisional Malaysia dan lagu-lagu lama yang saya pernah nyanyikan. Lagu saya memang dia hafal seperti Kerana Terluka dan Cinta Azali yang dihafalnya dalam diam.

“Kami sangat bangga kerana untuk usia dia yang bakal memasuki 13 tahun pada Oktober ini, dia berani menyanyi dan menari di hadapan orang ramai. Dia sangat menikmati perkara tersebut tanpa ada rasa gementar,” katanya.

Nourul berkongsi perkara berkenaan selepas Zachary mencuri tumpuan peminat apabila tampil mengejutkan ramai dengan menyampaikan lagu tradisional, Joget Kenangan Manis, sewaktu membuat persembahan di Konsert For You Nourul yang berlangsung di Zepp KL, baru-baru ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN