Ninja Van Malaysia selaraskan operasi gudang guna teknologi Zebra - Utusan Malaysia

Ninja Van Malaysia selaraskan operasi gudang guna teknologi Zebra

PEKERJA Ninja Van menggunakan peranti Zebra bagi melancarkan proses pengurusan inventori dan logistik di dalam gudang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ninja Van Malaysia berjaya memodenkan operasi pemenuhan pesanannya dengan memanfaatkan penyelesaian pergudangan Zebra Technologies Corporation (Zebra Technologies).

Langkah strategik tersebut membolehkan penyedia logistik berkenaan menggandakan kelajuan pengimbasan bungkusan selain mempertingkatkan produktiviti tenaga kerja barisan hadapannya secara signifikan.

Pengarah Rantaian Bekalan dan Perkongsian Ninja Van Malaysia, Tzi Zhao Lee berkata, pelaksanaan sistem baharu itu membantu syarikat mengendalikan jumlah pesanan yang tinggi serta memastikan penghantaran dilaksanakan tanpa kelewatan terutamanya ketika tempoh puncak.

“Gabungan kekuatan peranti Zebra dan Sistem Pengurusan Gudang (WMS) AC2 WAVE berasaskan awan membolehkan kakitangan mengendalikan 30 hingga 60 imbasan seminit, iaitu hampir dua kali ganda berbanding sebelum ini.

“Proses yang telah diautomasikan ini bukan sahaja mengurangkan tekanan di gudang, malah meningkatkan kepuasan bekerja dan membantu mengekalkan momentum kakitangan sepanjang syif,” katanya dalam kenyataan. 

Melalui kerjasama dengan AC2 WAVE selaku rakan kongsi program Zebra PartnerConnect, Ninja Van Malaysia melengkapkan operasinya dengan komputer mudah alih siri TC2 serta pencetak desktop siri ZD200 daripada Zebra.

Teknologi tersebut menghubungkan setiap peringkat operasi daripada pengesanan lokasi inventori secara masa nyata hinggalah kepada proses melabel bungkusan di stesen pembungkusan sebelum dihantar kepada hampir 25 juta penerima di seluruh negara.

Sementara itu, Pengurus Negara bagi Malaysia dan Brunei Zebra Technologies, Kym Lim berkata, ekonomi digital Malaysia yang berkembang pesat meletakkan tekanan besar kepada sektor logistik untuk bergerak pada tahap kelajuan tinggi.

“Kejayaan Ninja Van Malaysia membuktikan bahawa pemerkasaan kakitangan barisan hadapan dengan teknologi yang tepat mampu memacu pemodenan operasi secara signifikan.

“Sistem ini membantu tenaga kerja mereka mengatasi cabaran lambakan pesanan pada waktu puncak sekali gus menyampaikan perkhidmatan yang boleh dipercayai dan cemerlang kepada pengguna,” katanya.  –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN