Nik Nazmi pelawa SPRM siasat isu pindah gajah ke Jepun

Nik Nazmi pelawa SPRM siasat isu pindah gajah ke Jepun

NIK Nazmi Nik Ahmad menyampaikan ceramah semasa siri Jelajah Kancil di Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad sekali lagi menafikan penglibatannya dalam amalan rasuah membabitkan sejumlah wang RM53 juta yang disalurkan kepada individu tertentu untuk memindahkan tiga gajah dari Malaysia ke sebuah zoo di Jepun.

Sehubungan dengan itu, beliau mempelawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan.

“Saya sudah kata, saya mengalu-alukan (jika SPRM mahu menjalankan siasatan). Kalau mahu siasat, silakan sebab benda itu saya tidak terlibat.

“Kalau mereka (SPRM) mahu siasat, itu hak merekalah. Maknanya, welcome kalau SPRM mahu siasat saya,” katanya ketika ditemui selepas sesi Jelajah Kancil Negeri Kelantan di Pantai Cahaya Bulan, di sini malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan, Nik Nazmi menafikan sepenuhnya dakwaan penglibatannya dalam amalan rasuah berkaitan pemindahan Dara, Amoi dan Kelat dari Zoo Taiping ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun, sekali gus mengalu-alukan siasatan oleh SPRM.

Beliau menjelaskan, walaupun perbincangan awal mengenai pemindahan gajah berkenaan bermula ketika beliau masih memegang jawatan menteri, tetapi kelulusan akhir diberikan selepas beliau meletakkan jawatan pada Julai tahun lalu.

Katanya, urusan tersebut juga bukan penjualan hidupan liar secara komersial, sebaliknya pemindahan rentas sempadan antara Zoo Taiping dan Zoo Tennoji serta bukan perjanjian langsung antara kerajaan dengan kerajaan. 

“Bagaimanapun, kerana urusan itu melibatkan pemindahan hidupan liar ke luar negara, kelulusan akhir perlu diperoleh daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan kementerian,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN