SUNGAI PETANI: Seorang nelayan lemas manakala lima rakannya berjaya diselamatkan selepas bot dinaiki mereka terbalik dilanda ombak besar berdekatan Pulau Sayak di Tanjung Dawai, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari tadi, mangsa, Muhammad Amin Izham, 27, disahkan meninggal dunia selepas dia dilihat tenggelam timbul ketika memegang tali bot yang sudah terbalik.
Mangsa yang hanyut sempat ditarik sekumpulan nelayan lain yang kebetulan dalam perjalanan pulang ke jeti, namun didapati telah meninggal dunia ketika dia dinaikkan ke bot.
Menurut rakan mangsa yang mahu dikenali sebagai Hassan, kejadian ombak besar berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang dari kawasan perairan Batu Maung di Pulau Pinang ke Tanjung Dawai selepas memukat ikan.
“Kami keluar sejak pukul 6 pagi tadi dan kejadian berlaku semasa menghampiri Pulau Sayak apabila ombak besar dan angin kencang melanda, bot yang dinaiki kami berenam terbalik menyebabkan kesemua kami terjatuh ke dalam laut,” katanya.
Ujar Hassan, dia dan empat rakan yang lain sempat berpaut pada badan bot tersebut, manakala mangsa yang hanya bergantung kepada seutas tali berada agak jauh dari mereka.
“Kami lihat dia tenggelam timbul sebelum hilang dan pada masa sama sebuah bot nelayan lain menghampiri kami dan membantu menaikkan mangsa ke dalam bot mereka. Kami berlima berjaya diselamatkan, namun mangsa ditemui sudah tidak bernyawa sebaik dinaikkan ke bot,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian itu pada pukul 12.10 tengah hari ini.
“Mayat dihantar untuk proses bedah siasat di Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – UTUSAN










