Mungkin nampak liar, jahat, tapi kami hanya sekumpulan orang terbuang - Fynn Jamal - Utusan Malaysia

Mungkin nampak liar, jahat, tapi kami hanya sekumpulan orang terbuang – Fynn Jamal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Fynn Jamal, menyifatkan persahabatan yang dibina bersama kumpulan Hujan sejak sekian lama cukup tulus, bermula daripada membuat persembahan di acara indie berskala kecil sehinggalah menjayakan konsert di stadium.

Menurut Fynn atau Nur Affina Yanti Jamalludin, ketika anaknya, Arjuna, memerlukan dana bagi menampung kos pembedahan jantung, Hujan tampil mengajak orang ramai menghulurkan bantuan.

Bagaimanapun, kumpulan yang dianggotai Noh Salleh, AG Coco, Azham dan Izzat Huzaini itu sering disalah anggap sebagai band yang liar hanya kerana memilih untuk menjadi diri sendiri.

“Daripada road trip beramai-ramai ke pelbagai acara, kami sentiasa bersama di belakang pentas, bersorak dan bergembira. Persahabatan yang bukan dibuat-buat.

“Saya masih ingat ketika Juna memerlukan dana untuk pembedahan jantung, Hujan rajin mengajak khalayak tampil membantu. Mungkin kerana itu Hujan dibenci, nampak berlebih-lebihan hanya kerana terlalu menjadi diri sendiri. Mungkin nampak liar dan jahat, tetapi kami hanyalah sekumpulan misfit  yang terbuang.

“Ke sana dimaki, ke sini diperli. Maka kami bina dunia sendiri. Ini untuk kita, orang-orang aneh yang menemukan sesama sendiri. Akur sahaja dengan segala tuduhan yang membingitkan walau dalam apa juga bahasa mereka,” tulisnya menerusi Threads pada Isnin.

Dalam pada itu, Fynn turut mengulas kejayaan Konsert Hujan XX: Hujan 20 Tahun, Sabtu lalu, yang disifatkannya sebagai bukti Hujan masih mempunyai kelompok peminat setia yang mengikuti perjalanan mereka sejak awal penubuhan sehingga berjaya menjual lebih 17,000 tiket.

Fynn berkata, dia bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada detik bersejarah itu apabila mendendangkan lagu  Pijak Hatiku bersama Hang Dimas.

“Kami membuka suasana dengan nada sayu menerusi interpretasi permulaan Hujan, daripada pentas kanopi pasar tani sehingga melangkah jauh ke luar negara dan akhirnya memenuhi sebuah stadium.

“Menjadi saksi awal bersama Raingers ke mana-mana di seluruh Malaysia. Hujan terbina daripada penyanjung yang ikhlas, menjadi kawan sehingga tua dan berkeluarga.

“Saya dan Dimas hanya berpandangan dan tersenyum seperti ibu bapa yang bangga melihat anak-anak mereka akhirnya mendapat penghargaan yang selayaknya,” katanya.

Menurut Fynn, gitaris Hujan, AG Coco, pernah berkongsi bahawa kumpulan itu akan sentiasa memberikan persembahan terbaik tanpa mengira skala penganjuran.

“AG Coco pernah kata, persembahan tetap sebuah persembahan. Berikan yang terbaik, itu sahaja. Jangan terlalu berharap dan jangan juga terlalu pesimis,” katanya.

Terdahulu, Hujan mencipta sejarah apabila menjadi kumpulan muzik indie pertama menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi kategori Largest Audience for a Single Indie Band Live Concert, selepas menghimpunkan lebih 17,000 penonton pada konsert yang berlangsung Sabtu lalu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN