KOTA BHARU: Pejabat Mufti Kelantan menegur tindakan seorang peniaga wanita beragama Islam yang menutup aurat melakukan demonstrasi dengan memakai pakaian menerusi satu hantaran video bagi mempromosikan produk jualannya.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, tindakan itu bukan sahaja kurang wajar malah tidak selari dengan akhlak sebagai seorang Islam.
Katanya, meskipun dari sudut hukum wanita berkenaan dilihat menutup aurat dengan sempurna, namun aspek adab dan etika tetap perlu diberi perhatian terutama dalam urusan perniagaan yang melibatkan tontonan umum.
“Memang dia tutup aurat tetapi dari segi etika itu tidak berapa sesuai kerana perkara seperti itu sudah sedia maklum dan ada cara lain yang boleh digunakan.
“Kalau di kedai jahit pun ada replika untuk menunjukkan cara pemakaian sesuatu produk, jadi kenapa tidak gunakan alternatif seperti itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan seorang wanita Islam yang menutup aurat menjual pakaian dalam dengan cara menggayakannya menerusi satu ramakan video semasa mempromosikan produk tersebut.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 30 saat dalam laman sosial threads.com yang memaparkan seorang wanita menutup aurat mempromosikan pakaian dalam dengan cara menggayakannya.
Tindakan wanita itu menimbulkan kecaman daripada menggunakan laman sosial berkenaan.
Mohamed Shukri berkata, para peniaga seharusnya sentiasa mematuhi nilai akhlak Islam dalam menjalankan perniagaan dan tidak terlalu ghairah mempromosikan produk sehingga menimbulkan persepsi kurang baik dalam masyarakat.
Katanya, setiap individu Muslim perlu menjadikan etika Islam sebagai panduan utama dalam setiap tindakan dan memastikan ia diamalkan secara konsisten.
Sementara Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd. Asri Mat Daud berkata, pihaknya sudah menerima maklumat berhubung perkara tersebut.
Katanya, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) sedang menjalankan siasatan. – UTUSAN










