MITI sasar status negara berpendapatan tinggi dalam tempoh dua tahun - Utusan Malaysia

MITI sasar status negara berpendapatan tinggi dalam tempoh dua tahun

SIM TZE TZIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia berada di landasan tepat untuk keluar daripada perangkap pendapatan sederhana dan mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam tempoh dua tahun akan datang.

Trajektori positif tersebut bagaimanapun amat bergantung kepada keupayaan negara mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi sedia ada, di samping faktor kestabilan politik domestik bagi memastikan keyakinan pelabur global terus terpelihara.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin berkata, sasaran melepasi ambang pendapatan berkenaan mampu direalisasikan sekiranya seluruh ekosistem ekonomi bergerak seiringan.

“Jika kita boleh mengekalkan momentum ekonomi, kita harap Malaysia boleh mencapai negara berpendapatan tinggi dalam tempoh dua tahun. Namun, peraturan pertama ialah semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta dan pekerja mesti bekerja keras meningkatkan produktiviti.

“Satu lagi faktor kritikal ialah kestabilan politik. Sekiranya politik kembali kucar-kacir seperti tempoh tahun 2020 hingga 2023, kita akan menghadapi masalah besar untuk bergerak maju. Terlalu banyak yang dipertaruhkan dan jika kita asyik bertukar kerajaan, kita akan ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-53 Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) di sini hari ini. 

Turut hadir ialah Presiden MICCI, Christina Tee Kim Chin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Pelaburan Promosi dan Kemudahan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Zalina Zainol dan Pengarah Bahagian Perancangan Strategik Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Noor Hayati Abu Noh

Mengulas lanjut, beliau berkata, prestasi perdagangan bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini merekodkan angka yang sangat luar biasa, khususnya pada bulan April yang mencatatkan prestasi terbaik dalam sejarah negara.

Jelasnya, di sebalik ketegangan geopolitik melibatkan perang Iran serta impak rantaian bekalan global di Selat Hormuz, sektor perdagangan dan pengeksport Malaysia terbukti kekal berdaya tahan.

“Kita melihat pertumbuhan dua angka direkodkan dengan rakan dagang utama dunia seperti Amerika Syarikat (AS), China, Taiwan, Korea Selatan dan Jepun.

“Trajektori ini dijangka berterusan untuk beberapa bulan lagi kerana kita sedang menunggang superkitaran kecerdasan buatan (AI) yang merancakkan aktiviti dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E). Walaupun unjuran sehingga penghujung 2026 masih perlu dilihat, kami optimis angka bagi bulan Mei yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi adalah sangat positif,” katanya. 

Ketika ditanya mengenai keyakinan MITI mengekalkan momentum pelaburan selepas Malaysia berjaya melepasi angka RM1 trilion dalam tempoh tiga tahun, beliau berkata, situasi geopolitik semasa memberikan kelebihan tersendiri kepada rantau ini.

“Perang Iran adalah satu perkara yang amat dikesali, namun ia menjadi hikmah di sebalik duka kerana dunia sedang mencari destinasi pelaburan alternatif yang selamat. Mereka melihat Asia Tenggara dan Malaysia sebagai contoh terbaik yang stabil untuk meletakkan modal.

“Sebab itu ramai pelabur luar mencurahkan pelaburan ke sini, dan momentum ini akan berterusan melalui usaha agresif MIDA bersama kestabilan politik kita,” katanya. 

Dalam pada itu, menyentuh mengenai inisiatif memperkukuh vendor tempatan, MITI kini sedang giat mengumpul maklumat bagi mewujudkan pangkalan data berpusat, khusus bagi sektor automotif dan elektronik. 

Pangkalan data ini bertujuan menghubungkan rantaian vendor domestik dengan syarikat yang memerlukan komponen khusus demi memacu Pelaburan Domestik Langsung (DDI) serta mengurangkan aliran keluar mata wang melalui aktiviti import.

Bagaimanapun, Tze Tzin berkata, kerajaan tidak akan mewajibkan pelabur asing atau syarikat besar untuk menggunakan khidmat vendor tempatan secara paksaan.

“Pangkalan data ini adalah untuk memudahkan urusan mencari rakan kongsi. Dalam dunia perniagaan, ekosistem yang sihat mesti berasaskan rakan kongsi yang bersetuju atas dasar rela. Jadi, kita tidak boleh mewajibkan, sebaliknya kita memberikan galakan yang kuat kepada mereka,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN