MINDEF henti latihan baling grenad, tunggu siasatan selesai - Utusan Malaysia

MINDEF henti latihan baling grenad, tunggu siasatan selesai

MOHAMED KHALED Nordin (tengah) membantu pengunjung mengisi minyak pada program Pengisian Minyak Percuma Untuk Motosikal di BHP Felda Ayer Tawar 2, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah menghentikan latihan membaling grenad bagi Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) susulan kejadian yang meragut nyawa dua anggotanya, Selasa lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penangguhan latihan tersebut akan ditangguh sehingga siasatan yang dijalankan selesai sepenuhnya.

“Hand grenade ini bila pin dicabut, dalam masa tujuh saat mesti dibaling, jadi insiden yang berlaku adalah amat malang kerana menyebabkan dua nyawa terkorban. Salam takziah diucap.

“Kesan daripada itu, Tentera Darat Malaysia telah keluarkan arahan untuk tangguh semua latihan melibatkan soal penggunaan grenad sehingga siasatan selesai.

“Siasatan perlu dibuat untuk memastikan apa kesilapan yang berlaku, adakah perasaan gemuruh atau apa-apa saya tidak mahu buat andaian, jadi kita kena siasat dahulu,” katanya kepada pemberita pada majlis Pengisian Minyak Percuma Untuk Motosikal di BHP Felda Ayer Tawar 2, di sini hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Kota Tinggi itu, penambahbaikan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan pelaksanaan latihan itu akan dibuat bagi memastikan tiada insiden sedemikian berulang pada masa dapan.

“Kita akan tambah baik dan sebagainya, ini termasuklah untuk lihat sama ada anggota yang terlibat dalam latihan itu, bersedia atau tidak keadaan dia. Kita akan lihat hasil siasatan dahulu, jadi saya harap ia dapat disegerakan,” katanya.

Selasa lalu, Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan mengesahkan berlaku insiden semasa pelaksanaan latihan membaling grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja Divisyen Kedua Infantri malaysia.

Dalam insiden pada pukul 10.57 pagi itu, Prebet Siti Khadijah Sungip dan Koperal Norazmi Abu Bakar maut ketika dalam perjalanan ke hospital selepas mengalami kecederaan parah akibat letupan semasa latihan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN