Miliki dadah dalam lokap mahkamah, anggota polis mengaku tidak bersalah - Utusan Malaysia

Miliki dadah dalam lokap mahkamah, anggota polis mengaku tidak bersalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine di lokap Kompleks Mahkamah Kota Bharu dekat sini pada minggu lalu.

Tertuduh, Mohammad Fadhirul Musa, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan berat kasar 19.8 gram di lokap Kompleks Mahkamah Kota Bharu di sini kira-kira pukul 8.29 pagi pada 8 Jun 2026.

Anggota polis itu didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan tidak melebihi sembilan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Nadzir Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Azrizal Hamzi dan Muhammad Husni Mubarak Ghazali.

Terdahulu, Muhamad Nadzir mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mohd. Azrizal dalam rayuannya memohon ikat jamin yang berpatutan dengan alasan tertuduh perlu menanggung isteri yang merupakan seorang suri rumah dan empat orang anak masih belajar.

“Tertuduh yang bekerja sebagai anggota polis dengan pendapatan RM3,000 sebulan juga menanggung kedua ibu bapanya. Tertuduh juga akan memberi kerjasama penuh dalam kes ini dan mohon satu jaminan yang tidak membebankan,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin selain menetapkan 30 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN