Mengejar ‘pelangi bulan’ di Air Terjun Victoria

Mengejar ‘pelangi bulan’ di Air Terjun Victoria

MOONBOW terbentuk apabila cahaya bulan yang terang dibiaskan melalui kabus dan menghasilkan kesan pelangi waktu malam yang jarang berlaku. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AIR Terjun Victoria merupakan antara beberapa lokasi di dunia di mana pengunjung berpeluang menyaksikan fenomena alam yang sangat jarang berlaku dikenali sebagai ‘moonbow’ atau pelangi bulan.

Menjejakkan kaki ke kawasan tersebut juga cukup mendebarkan. Ia bermula sebagai deruman perlahan dari kejauhan, mudah disangka bunyi angin.

Namun apabila laluan semakin sempit dan pepohonan semakin jarang, bunyi itu berubah menjadi gegaran yang lebih kuat dan menggegarkan dada.

Tiada lampu menerangi kawasan itu. Hanya cahaya pucat bulan purnama yang sedang naik dan langit malam Zambia yang gelap kebiruan.

Di sebalik kegelapan, air menjunam lebih 100 meter ke dalam gaung, menghasilkan semburan kabus air yang tinggi ke udara.

Kemudian perlahan-lahan muncul sebab sebe­nar kehadiran para pengunjung iaitu tompokan samar dalam semburan air yang sukar dilihat kecuali diperhatikan dengan teliti.

Sedikit demi sedikit, satu lengkungan cahaya lembut mula terbentuk, terapung di atas gaung gelap.

Itulah moonbow, pelangi bulan yang terbentuk bukan daripada cahaya matahari, tetapi cahaya bulan.

Terletak di sempadan Zimbabwe dan Zambia, Air Terjun Victoria yang dikenali penduduk tempatan sebagai Mosi-oa-Tunya atau ‘asap yang berdentum’, merupakan antara air terjun paling terkenal di dunia.

Kira-kira sejuta pelawat mengunjunginya setiap tahun, kebanyakannya pada waktu siang. Namun selepas matahari terbenam, khususnya ketika bulan purnama, suasananya berubah sama sekali.

“Apabila tiba di Livingstone, satu-satunya perkara yang pasti adalah saya mahu melihat air terjun tersebut. Namun ketika tiba di pintu masuk taman pada tengah hari, seorang petugas parkir bertanya sama ada kami mahu mengekalkan tempat parkir sehingga waktu malam.

“Apabila ditanya sebabnya, petugas itu menjelaskan bulan purnama sedang naik dan malam tersebut antara malam jarang berlaku di mana pelangi unik mungkin muncul.

“Saya kemudian segera membeli dua tiket, satu untuk lawatan siang dan satu lagi untuk malam. Peluang menyaksikan moonbow dianggap satu kebetulan bertuah,” kata seorang pengunjung, Sarah Steger kepada BBC.
Moonbow terbentuk hampir sama seperti pelangi biasa, melalui proses pembiasan, pantulan dan penyebaran cahaya dalam titisan air.

Profesor Fizik Universiti Toronto, Kimberly Strong berkata, moonbow jauh lebih jarang berlaku kerana ia lebih samar dan hanya dapat dilihat dengan jelas ketika bulan hampir penuh dan paling terang.

Menurut beliau, beberapa syarat perlu dipenuhi untuk moonbow muncul, bulan yang terang dan rendah di langit, cuaca bebas awan serta jumlah titisan air mencukupi di udara.

Pemerhati juga perlu berdiri dengan bulan di belakang mereka dan semburan air di hadapan.

Air Terjun Victoria merupakan antara beberapa tempat di dunia yang membolehkan moonbow dilihat dengan lebih kerap kerana jumlah kabus air yang sangat besar dihasilkan air terjun itu.

Namun tempoh kemunculan fenomena memukau itu sangat singkat, biasanya hanya beberapa malam setiap bulan dan dapat dilihat selama beberapa jam sahaja.

Menurut Strong, moonbow tidak seterang pelangi biasa pada waktu siang tetapi cahayanya lebih lembut, warnanya samar dan pinggirnya kabur.

Ia kerana cahaya bulan jauh lebih malap daripada cahaya matahari, malah warna moonbow lebih sukar dibezakan oleh mata manusia.

Kamera setiap pengunjung perlu merakam menggunakan pendedahan panjang yang akhirnya menonjolkan warna merah, biru dan ungu tersembunyi dalam lengkungan cahaya putih tersebut.

Pemandu pelancong Victoria Falls Expeditions, Omen Mudenda berkata, ramai pengunjung menyifatkan pengalaman itu hampir bersifat spiritual.

Jelasnya, moonbow bukan sesuatu yang biasanya ditemui secara kebetulan oleh pengembara, sebaliknya ia memerlukan masa yang tepat, kesabaran dan kesanggupan untuk menunggu tanpa kepastian.

“Anda berdiri dalam kegelapan, mendengar bunyi air terjun, merasai gegarannya dan tiba-tiba melihat pelangi yang terbentuk daripada cahaya bulan. Ia pasti menjadi kenangan terindah dan mendebarkan sepanjang hayat.

“Anda perlu berada di tempat yang tepat pada waktu yang tepat, dan itulah yang menjadikannya pengalaman paling magis,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN