IPOH: Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari menyelar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyatakan hasrat parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah untuk memastikan negeri itu ditadbir oleh orang Melayu Islam.
Menurut Abdul Aziz, Presiden Pas itu sepatutnya sudah maklum mengenai perkara itu kerana undang-undang tubuh atau Perlembagaan sembilan negeri yang beraja sudah menyebut dengan jelas jawatan Menteri Besar hanya boleh disandang oleh orang Melayu yang beragama Islam.
Katanya, selain Menteri Besar, jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri yang mengetuai perkhidmatan awam negeri juga perlu diisi oleh pegawai Melayu beragama Islam.
“Presiden Pas ini datang dari planet mana? Sebagai bekas Menteri Besar Terengganu dan Ahli Parlimen, bagaimana beliau tidak tahu bahawa Menteri Besar di semua negeri Melayu mesti orang Melayu dan beragama Islam?
“Negeri Melayu yang dimaksudkan ialah sembilan negeri beraja yang diketuai oleh Menteri Besar.
“Semua undang-undang tubuh atau Perlembagaan negeri-negeri itu dengan jelas menyatakan Menteri Besar mestilah orang Melayu dan beragama Islam,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi berkata, perkara sama turut diperuntukkan dalam Perlembagaan Negeri Terengganu.
“Apabila seseorang Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri mengangkat sumpah, mereka berikrar untuk mempertahankan Perlembagaan.
“Abdul Hadi telah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen sejak 1982. Tidakkah beliau sedar akan kandungan sumpah yang diikrarkannya?”, katanya.
Pas meletakkan sasaran untuk menjadi blok pembangkang serta penasihat kepada kerajaan dalam PRN Johor dan keputusan meletakkan calon di 11 kerusi DUN dibuat berdasarkan penilaian teliti di kawasan yang mempunyai keyakinan tinggi untuk menang. – UTUSAN










