PETALING JAYA: Pelakon, Siti Khadijah Halim, 29, mengakui satu masa dulu pernah diherdik pengarah kerana ‘kaku’ ketika berkasi depan kamera.
Katanya, perkara itu membuatkan dia bersungguh-sungguh memperbaiki mutu lakonan sehingga menjadi pelakon hebat hari ini.
“Masa itu berlakon pun ‘kayu’ kerana saya baharu masuk bidang lakonan. Kerana itu saya dimaki pengarah.
“Saya faham dan terima apabila diherdik sebegitu. Cuma bahasa yang digunakan itu, tak wajar bagi saya.
“Kalau marah sekalipun, bukan kerana mahu melepaskan amarah. Sebaliknya menegur untuk memperbaiki,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Siti Khadijah berkata demikian ketika hadir ke pejabat Media Mulia bagi mempromosikan filem Khadam.
Meskipun menerima herdikan tersebut, pelakon yang berasal dari Kuala Lumpur itu mengakui sedikit terguris hati.
“Saya terima dimarahi cuma bukan dengan cara yang kasar seperti itu, tidak ada sinisnya.
“Apa pun saya faham. Cara berfikir saya dengan individu tersebut, berbeza. Cuma sakit dan saya terguris hati sedikit,” katanya lagi.










