PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengadakan rundingan semula secara lebih serius dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) Malaysia bagi memperkemas pengurusan dan penentuan status pelarian Rohingya yang berada di negara ini.
Peguambela dan Peguamcara, Datuk Yaacob Md. Sam berkata, langkah itu penting bagi memastikan jumlah kad UNHCR yang telah dikeluarkan kepada pendatang Rohingya dapat dikenal pasti dengan tepat selain mengetahui sejauh mana pemantauan dilakukan terhadap komuniti tersebut di Malaysia.
Katanya, perkara itu termasuk menentukan jumlah sebenar Rohingya dari semasa ke semasa, termasuk ahli keluarga mereka yang telah lama menetap di negara ini dan mempunyai generasi yang lahir di Malaysia.
“Melalui rundingan tersebut, kerajaan boleh merangka semula pengurusan dan status Rohingya yang berada di Malaysia bagi melihat kaedah yang sesuai untuk dilaksanakan.
“Ia termasuk program penghantaran ke negara ketiga, penghantaran pulang ke negara asal atau membenarkan mereka tinggal lebih lama di Malaysia selaras dengan dasar nasional negara mengenai pelarian serta undang-undang dan konvensyen antarabangsa berkaitan pelarian atau suaka politik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Yaacob, kerajaan juga wajar mengadakan rundingan meja bulat melibatkan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi perhatian terhadap isu pelarian Rohingya serta agensi penguatkuasaan.
“Perbincangan tersebut dapat membantu mengenal pasti kaedah terbaik dalam menangani isu pendatang Rohingya serta aspek penguatkuasaan undang-undang terhadap mereka.
“Hasil daripada semua rundingan itu akan membantu kerajaan membentuk polisi atau dasar yang lebih komprehensif dan berkesan dalam menangani isu kehadiran Rohingya di negara kita sama ada untuk tindakan serta pelaksanaan usaha jangka pendek mahupun jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Unit Undang-Undang Antarabangsa di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli berkata, Malaysia bukan sebuah negara yang meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951.
Bagaimanapun katanya, dalam undang-undang antarabangsa terdapat prinsip non-refoulement yang merupakan sebahagian daripada undang-undang adat antarabangsa, iaitu sesebuah negara tidak sepatutnya memulangkan individu atau kumpulan yang ditindas oleh negara asal mereka ke tempat mereka mengalami penindasan.
“Status mereka adalah pelarian dan tidak mempunyai negara. Sebenarnya, kerajaan Malaysia tidak perlu mengiktiraf mereka sebagai pelarian, namun kita mempunyai tanggungjawab untuk tidak memulangkan mereka ke negara asal,” katanya.
Menurut beliau, bagi menghalang kemasukan mereka ke negara ini, kawalan sempadan perlu diperketatkan bagi memastikan tiada pihak yang dapat memasuki negara secara tidak sah.
Katanya, situasi Rohingya berbeza dengan pelarian Vietnam kerana rakyat Vietnam mempunyai negara sendiri dan mereka melarikan diri akibat peperangan yang berlaku ketika itu, manakala Rohingya tidak mempunyai negara sendiri.
“Jika kita menampung mereka untuk sementara waktu, persoalannya sampai bila? Mereka tidak boleh dipulangkan kerana tidak mempunyai negara asal. Wilayah asal mereka iaitu Rakhine, telah diambil oleh Burma.
“Sekalipun kita mengambil pendekatan yang lebih berstruktur, apakah penyelesaiannya? Pada saya, apa yang perlu dilakukan sekarang ialah menyelesaikan isu mereka yang telah berada di negara kita dan pada masa sama menutup pintu sempadan supaya tidak berlaku kemasukan orang Rohingya pada masa hadapan,” katanya.
Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir pula berkata, Rohingya boleh dianggap sebagai golongan tanpa negara (stateless) kerana Malaysia tidak mengiktiraf Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967, justeru istilah pelarian atau stateless tidak pernah diperuntukkan dalam Akta Imigresen negara.
“Disebabkan kita tidak mengiktiraf mereka, apabila mereka masuk ke negara ini, mereka dianggap sebagai pendatang tanpa izin. Itu kedudukan mereka dari sudut undang-undang negara,” katanya.
Tambah beliau, terdapat negara ketiga yang menerima Rohingya, namun proses tersebut berlaku secara sangat perlahan dan pasif kerana mereka perlu memenuhi pelbagai syarat ditetapkan oleh negara berkenaan.
Katanya, kebanyakan Rohingya berdepan kesukaran memenuhi syarat tersebut kerana tidak mempunyai pendidikan yang mencukupi dan faktor-faktor lain yang menjadi pertimbangan negara penerima.
“Jadi, mereka adalah golongan stateless dan memang ada yang diterima oleh negara ketiga, tetapi mereka perlu memenuhi kehendak serta syarat yang ditetapkan negara tersebut, yang sememangnya sukar untuk dipenuhi.
“Namun, dari segi dokumentasi, kita lazimnya mengkategorikan mereka sebagai pelarian kerana ia memudahkan urusan berkaitan penempatan atau penghantaran mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika ini sedang melaksanakan fasa pertama pendaftaran pelarian secara biometrik.
Katanya, langkah itu merupakan perkembangan penting selepas sekian lama isu tersebut dibincangkan.
“Pengurusan pelarian Rohingya tidak boleh disamakan dengan pelarian Vietnam pada masa lalu kerana keadaan kedua-dua kumpulan itu berbeza.
“Pelarian Vietnam dahulu berada dalam kelompok yang lebih tersusun, manakala Rohingya kini telah berpecah dan menetap di pelbagai lokasi selepas berada lama di negara ini.
“Justeru, kaedah terbaik adalah mendapatkan semula data biometrik mereka melalui kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), dan proses itu sedang dilaksanakan dalam fasa pertama oleh KDN ketika ini,” katanya. – UTUSAN










