Malaysia tidak tutup pintu hantar angkasawan ke orbit, bulan

Malaysia tidak tutup pintu hantar angkasawan ke orbit, bulan

CHANG LIH KANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan tidak pernah menutup pintu terhadap rancangan menghantar angkasawan negara ke orbit atau bulan pada masa hadapan walaupun tiada pelan khusus dibuat pada masa kini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, sebarang misi itu akan diteliti secara mendalam berdasarkan kepentingan sains, pulangan strategik kepada negara dan kedudukan kewangan semasa kerajaan.

“Sebarang keputusan untuk melaksanakan misi sedemikian pada masa hadapan akan diteliti dengan amat mendalam, berdasarkan kepentingan sains, pulangan strategik kepada negara dan yang paling utama, kedudukan kewangan negara. 

“Keutamaan kerajaan pada masa ini adalah jelas iaitu memastikan penglibatan substantif kepakaran anak Malaysia dalam pembangunan teknologi, instrumentasi dan infrastruktur angkasa yang memberi pulangan ekonomi yang nyata kepada negara,” katanya dalam jawapan bertulis dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang meminta kerajaan menjelaskan sama ada warga Malaysia akan dihantar ke bulan selepas menyertai Artemis Accords dan program terjadual akan dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Lih Kang berkata, Artemis Accords bukan satu program penghantaran angkasawan ke bulan.

Katanya, Artemis Accords yang diwujudkan pada 2020 adalah satu set prinsip, garis panduan dan amalan terbaik antarabangsa yang tidak mengikat secara perundangan untuk mengawal selia penerokaan serta penggunaan ruang angkasa secara aman.

Tambah Lih Kang, dengan menyertai Artemis Accords, Malaysia dijangka mendapat manfaat melalui peluang industri tempatan menyertai The Lunar Economy yang diunjurkan bernilai AS$127 bilion menjelang 2050.

“Sektor-sektor yang berpotensi diberi tumpuan termasuklah teknologi pembuatan satelit mikro dan komponen semikonduktor, sistem robotik dan Kecerdasan Buatan (AI), serta sistem sensor berketepatan tinggi.

“Ia selaras dengan Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030) yang mensasarkan industri angkasa tempatan mampu menyumbang satu peratus atau RM10 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi (high-skilled jobs) untuk anak tempatan menjelang tahun 2030,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN