Malaysia negara selamat pelarian Rohingya

Malaysia negara selamat pelarian Rohingya

Pelarian dari pelbagai negara menunggu bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan UNHCR ketika tinjauan di Bukit Petaling, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dilihat sebagai pilihan yang lebih selamat bagi pelarian yang melarikan diri daripada bahaya, penganiayaan dan konflik di negara asal mereka, termasuk etnik Rohingya.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia berkata, pelarian meninggalkan negara asal mereka untuk mencari perlindungan daripada bahaya, dengan Malaysia dilihat sebagai destinasi yang lebih selamat berbanding keadaan di negara asal mereka.

Katanya, majoriti yang berada di Malaysia berasal dari Myanmar masih berdepan konflik berpanjangan, termasuk etnik Rohingya yang telah lama mengalami penganiayaan serta dinafikan kewarganegaraan selama beberapa dekad.

“Terdapat juga pelarian dari negara lain yang terjejas akibat peperangan dan pencabulan hak asasi manusia yang serius.

“Ketika ini, kira-kira 220,000 individu telah didaftarkan di negara ini sebagai pelarian dan pencari suaka.

“Angka itu menjadi lebih ketara apabila dibandingkan dengan Bangladesh yang menempatkan lebih 1.3 juta pelarian dari Myanmar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut UNHCR di Malaysia, hanya individu yang mempunyai ketakutan berasas terhadap penganiayaan dan tidak dapat kembali dengan selamat ke negara asal boleh diiktiraf sebagai pelarian selepas melalui proses penilaian individu.

Katanya, setiap kes ditentukan menerusi temu bual terperinci serta semakan fakta yang menyeluruh bagi memastikan kelayakan perlindungan.

Tambah UNHCR di Malaysia, pelarian tidak terkecuali daripada undang-undang Malaysia dan wajib mematuhinya seperti individu lain.

Katanya, dokumen UNHCR hanya berfungsi sebagai pengesahan keperluan perlindungan dan tidak memberikan sebarang imuniti daripada tindakan undang-undang.

“Dalam masa sama, pelarian lazimnya bergantung kepada pekerjaan dalam sektor tidak formal bagi meneruskan kehidupan.

“Usaha pihak berkuasa Malaysia dalam mendaftarkan dan mendokumentasikan pelarian membantu memperkemas pengurusan serta meletakkan hak dan tanggungjawab mereka dalam kerangka yang lebih jelas.

“Hubungan saling menghormati dalam kalangan masyarakat penting bagi mengurangkan salah faham, menghapuskan stereotaip dan mengukuhkan kestabilan sosial,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×