SERDANG: Malaysia akan terus mengekalkan hubungan baik dengan negara kuasa besar dunia bagi memastikan negara kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik khususnya dalam bidang semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan industri dron.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai sebuah ekonomi kecil, Malaysia perlu kekal fokus dan terus berhubung dengan negara-negara lain bagi merebut peluang dalam bidang teknologi serta pelaburan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai sebuah ekonomi kecil, Malaysia perlu kekal fokus dan terus berhubung dengan negara lain bagi merebut peluang dalam bidang teknologi dan pelaburan.
Katanya, Malaysia mempunyai hubungan kukuh dengan Amerika Syarikat (AS) sebagai rakan dan pelabur besar, selain hubungan baik dengan China yang merupakan negara penting dalam kerjasama dua hala.
“Seperti yang kita lihat, Malaysia boleh menjadi sahabat baik kepada semua termasuk negara-negara di Barat dan Timur. AS merupakan rakan dagangan dan pelabur besar kita.
“Kita juga sahabat baik dengan China iaitu negara yang sangat penting dan banyak bekerjasama dalam hubungan dua hala.
“Kita juga akan terus berhubung dengan Rusia. Itulah kekuatan Malaysia. Malaysia adalah sahabat kepada semua dan kita berdiri dengan prinsip kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ekspo Dron Malaysia (MyDrone) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, Malaysia perlu terus memberi tumpuan kepada bidang teknologi baharu seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), pusat data, pengkomputeran kuantum dan industri dron walaupun dunia berdepan ketidaktentuan global.
Katanya, ketidaktentuan yang berlaku di peringkat antarabangsa termasuk peperangan di Asia Barat berada di luar kawalan negara, namun Malaysia perlu kekal fokus terhadap keutamaan sendiri.
“Kita perlu terus fokus dan membiarkan negara lain di dunia bimbang. Sudah tentu kita juga bimbang, tetapi mereka perlu berhadapan dengan ketidaktentuan yang mereka cipta.
“Ketidaktentuan ini sudah tentu di luar kawalan kita, tetapi Malaysia perlu kekal fokus terhadap apa yang perlu dilakukan,” katanya.
Menurut Anwar, antara keutamaan negara ialah memastikan Malaysia terus menarik pelaburan terbaik dari dalam dan luar negara.
Katanya, kestabilan politik, kejelasan dasar ekonomi serta usaha membanteras rasuah merupakan faktor penting dalam menarik keyakinan pelabur.
“Kadang-kadang cabaran terlalu besar, tetapi kita tahu keutamaan kita iaitu memastikan negara ini menarik yang terbaik dari dalam dan luar negara.
“Walaupun Malaysia sebuah negara yang berbilang latar belakang, kita tetap memiliki keamanan, keharmonian dan saling menghormati,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, pencapaian hubungan dua hala dengan Turkmenistan membuktikan keyakinan negara itu terhadap Malaysia.
Katanya, antara simpanan gas terbesar di dunia telah dipercayakan kepada Malaysia oleh Turkmenistan walaupun persaingan dalam industri minyak dan gas sangat sengit.
“Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov menerima tawaran yang mengagumkan daripada negara-negara dan syarikat minyak terkemuka dunia, tetapi tetap memutuskan untuk menyokong Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
“Sekali lagi, kerana kita bersahabat dan mempunyai kestabilan politik serta kejelasan dalam dasar ekonomi,” katanya.-UTUSAN










