Malaysia bina ekosistem AI secara menyeluruh dalam tempoh 60 bulan - Utusan Malaysia

Malaysia bina ekosistem AI secara menyeluruh dalam tempoh 60 bulan

GOBIND Singh Deo (dua kanan) dan Pengerusi FIDE Forum Datuk Kamaruddin Taib (tengah), pada Majlis Pelancaran Laporan Baharu FIDE Forum dan Accenture Malaysia mengenai Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam Sektor Kewangan Malaysia, di Asia School Business, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia sedang membina ekosistem yang diperlukan bagi memastikan negara bersedia memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara menyeluruh dalam tempoh 60 bulan akan datang, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai dasar baharu termasuk dasar berkaitan tenaga, perindustrian dan AI.

“Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam membangunkan ekosistem yang diperlukan bagi memastikan Malaysia dapat memanfaatkan teknologi baharu secara berkesan.

“Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, kerajaan memberi tumpuan khusus kepada pembangunan ekosistem AI termasuk aspek infrastruktur asas seperti teknologi, ketersambungan, pusat data dan keselamatan siber.

“Pada masa sama, usaha turut dipergiatkan bagi memastikan bekalan bakat yang mencukupi untuk memenuhi keperluan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan laporan “Oversight to Advantage: How Boards Can Accelerate AI Adoption in Malaysia’s Financial Institutions” terbitan FIDE Forum dan Accenture Malaysia, di sini semalam.

Menurut laporan itu, penggunaan AI secara meluas berpotensi meningkatkan keuntungan sebelum cukai institusi kewangan di Malaysia sehingga 16 peratus, bersamaan kira-kira AS$1.8 bilion (RM7.7 bilion) nilai tambahan.

Selain itu, AI dijangka mampu menyumbang kira-kira AS$113 bilion (RM480 bilion) kepada ekonomi negara, atau hampir satu perempat daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Mengulas lanjut, Gobind berkata, usaha kerajaan itu selari dengan aspirasi Perdana Menteri untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteraskan AI menjelang 2030.

Menurutnya, antara langkah yang sedang dilaksanakan ialah menginstitusikan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) dalam masa terdekat.

Katanya, pejabat berkenaan akan berperanan merangka strategi nasional, menyediakan kepakaran serta memastikan negara memiliki tahap kesiapsiagaan yang menyeluruh dalam menghadapi perkembangan teknologi baharu.

“AI berpotensi memberi kesan kepada beberapa kategori pekerjaan, khususnya pekerjaan peringkat permulaan.

“Bagaimanapun, kerajaan telah mengambil langkah proaktif menerusi program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) bagi membantu tenaga kerja menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.

“Kerajaan juga telah mengenal pasti sektor yang dijangka terkesan dalam tempoh 60 bulan akan datang sebelum melaksanakan program pembangunan kemahiran yang bersesuaian bagi memastikan pekerja terus relevan dalam pasaran buruh.

“Matlamat kita adalah memastikan mereka tidak tercicir akibat perubahan teknologi, sebaliknya diberi peluang meningkatkan kemahiran dan terus kekal bekerja,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN