Mahkamah tolak permohonan Bersatu, dua akaun bank parti kekal beku

Mahkamah tolak permohonan Bersatu, dua akaun bank parti kekal beku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan semakan kehakiman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membeku dan menyita dua akaun bank milik parti itu.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aliza Sulaiman (kini Hakim Mahkamah Rayuan) selepas mendapati tindakan agensi itu tidak menyalahi undang-undang.

Mahkamah turut mendapati bahawa tindakan menyita dan membeku akaun-akaun itu tidak dibuat dengan niat jahat (mala fide) atau melibatkan sebarang penyalahgunaan kuasa.

“Secara keseluruhannya, mahkamah berpuas hati bahawa para pemohon gagal membuktikan bahawa keputusan responden dicemari unsur ultra vires (melangkaui undang-undang), niat jahat serta pelanggaran jangkaan sah (legitimate expectation) yang merupakan penyalahgunaan kuasa.

“Saya tidak berpendapat bahawa mana-mana perkara tersebut telah dibuktikan. Oleh yang demikian, permohonan para pemohon ditolak,” kata hakim itu.

Mahkamah tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.

Dalam prosiding yang dijalankan secara Zoom, Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan hadir mewakili SPRM manakala Bersatu diwakili peguam Rosli Dahlan.

Sekitar Mac 2023, Datuk Muhammad Suhaimi Yahya, sebagai pegawai awam Bersatu dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar pembekuan akaun CIMB dan AmBank parti tersebut.

Dalam semakan kehakiman itu, kedua-dua pemohon itu menamakan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan 19 yang lain sebagai responden.

Kedua-dua akaun bank itu dibekukan oleh SPRM pada 12 dan 13 Januari 2023 bagi membantu siasatan terhadap wang yang disyaki diperoleh daripada aktiviti haram.

Bersatu mendakwa akaun bank CIMB dan AmBank itu disita tanpa sebarang perintah penyitaan dikeluarkan mengikut Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN