SIMPANG RENGGAM: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Nur Hafiz Roslan yakin kawasan itu mampu berkembang lebih pesat sekiranya gabungan itu diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Beliau berkata, PH akan membentangkan manifesto serta tawaran yang lebih baik kepada pengundi di Machap dengan memberi penekanan terhadap pembangunan kawasan tersebut.
“Alhamdulilah, saya Nur Hafiz Roslan akhirnya bertemu Datuk Onn Hafiz Ghazi secara rasminya, maka saya mengharapkan agar pilihan raya ini akan berjalan dengan baik dan lancar.
“Kami daripada PH akan membentangkan manifesto-manifesto dan tawaran-tawaran kepada pengkhususan pembangunan Machap ini sendiri. Kami yakin dan percaya bahawa Johor dan Machap boleh lebih berkembang, baik dan lebih maju bersama dengan PH,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghantar borang pencalonannya di Dewan Muafakat, Kompleks Pentadbiran Majlis Daerah Simpang Renggam, hari ini.
Nur Hafiz berkata, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan amat penting bagi memastikan agenda pembangunan di Johor dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Kami cukup yakin dan percaya bahawa sekiranya kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dapat bersama-sama bergabung dan bekerjasama dengan baik maka Johor akan lebih maju dan ke hadapan,” katanya.
Mengulas persaingannya dengan penyandang kerusi DUN Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi, beliau yakin mampu merampas kerusi tersebut daripada Menteri Besar Johor itu.
“Setelah saya dimandatkan oleh PH untuk bertanding di Machap, maka kita datang dengan satu kesungguhan, keazaman, keyakinan dan iltizam yang tinggi bahawa kita masuk adalah untuk memenangi DUN ini.
“Kerana kita faham, yakin dan percaya, tawaran-tawaran kita kepada penduduk Machap ini adalah lebih baik. Kita juga sangat yakin dengan sokongan daripada rakyat terutama anak-anak Johor dan Malaysia untuk bersama PH bagi membina Johor yang lebih maju dan lebih baik,” katanya.-UTUSAN










