TAHUN baharu Awal Muharam cukup bermakna bagi kita melakukan perubahan diri dengan memulakan ‘penghijrahan’ total ke arah lebih baik berbanding tahun sebelum ini.
Sebagai seorang Muslim, kita sewajarnya membaharui tekad melakukan perubahan terutamanya meningkatkan amal ibadat iaitu antara perkara paling penting.
Imam Masjid Kampung Pagi, Ulu Tembeling dan pendakwah bebas, Mi Hamidi Nipah, 58, berkata, sebarang kekurangan serta kelemahan dalam diri kita sewajarnya diperbetulkan untuk melakukan perubahan sambil mengharapkan keredaan Allah SWT.
Katanya, tiada orang lain yang boleh mengubahnya, hanya diri kita yang boleh menilai kekurangan yang ada serta terus memperbaikinya dengan memenuhi amal ibadat sepanjang masa.
Mi Hamidi berkata, perkara ini selari dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Ra’d, ayat 11, yang bermaksud: ‘Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya.’
“Adalah lebih baik kita cuba berusaha melakukan perubahan walaupun gagal, daripada tidak mencuba langsung dengan hanya membiarkan diri tanpa sebarang ikhtiar sepanjang hidup kita,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Menurut beliau, kegagalan bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti, tetapi sesuatu yang harus diterima antara sebahagian perjalanan hidup. Justeru, Islam mengajarkan kita untuk bersabar, terus berusaha, bertawakal, belajar daripada kesilapan dan tidak pernah putus asa daripada rahmat Allah SWT.
Allah SWT berfirman dalam surah Yusuf, ayat 87: ‘Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tidak ada yang berputus asa daripada rahmat Allah kecuali kaum yang kafir.’
Mengulas tentang perubahan diri, beliau memberi contoh, seseorang yang baru pulang dari tanah suci menunaikan ibadat haji sewajarnya akan berlaku perubahan daripada segi mendekatkan diri kepada Allah SWT.
USTAZ MI HAMIDI NIPAH
Usia: 58 Tahun
Tempat lahir: Kampung Pagi, Ulu Tembeling, Jerantut
Pendidikan:
Pusat Tahfiz Jamia Ashrafia, Lahore, Pakistan (1991)
Madrasah Sarai Naurang, Bannu, Wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan (1991).
Madrasah Khok Pho, Patani, Thailand (1992).
Tugas hakiki/kerja:
Imam Masjid Kampung Pagi, Ulu Tembeling
“Amal ibadat bertambah baik dan tidak cuai melakukan amalan dalam Rukun Iman dan assunah yang sepatutnya mendominasi kehidupan harian kita,” katanya.
Tegas beliau, bukan sahaja mereka yang sudah menunaikan haji malah semua umat Islam perlu mengubah kehidupan sempena Maal Hijrah dengan mengikis sifat tercela ‘mazmumah’, iaitu perbuatan jahat dan keji seperti tamak, hasad, dengki, riak, takbur, bakhil, angkuh, membazir, boros dan sebagainya.
Tambahnya, sebelum ini kita yang sentiasa sibuk dengan urusan pekerjaan dan sebagainya perlu beristiqamah dengan mengerjakan solat fardhu secara berjemaah di masjid atau surau.
Ini seperti yang dijelaskan dalam firman Allah dari surah al-Taubah, ayat 18 bermaksud: ‘Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk’.
Katanya, berazamlah untuk menambahkan ilmu dengan menghadiri majlis ceramah dan kuliah agama daripada penceramah yang bertauliah di masjid dan surau untuk meningkatkan kefahaman agama dalam diri.
“Sungguh mengecewakan kerana segelintir ahli jemaah bergerak meninggalkan rumah ibadat selepas solat tanpa duduk sebentar mengikuti majlis ilmu anjuran pihak masjid untuk sama-sama berzikir dan memperoleh pengetahuan,” ujarnya.
Katanya, hal berkenaan dijelaskan menerusi firman Allah dalam surah az-Zumar, ayat 18 bermaksud: ‘Yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal.’ – UTUSAN









