PETALING JAYA: Sebuah lori tiga tan yang membawa muatan cat terbakar dalam kejadian di kawasan Tol Sungai Ramal menghala ke Jalan Reko, di sini yang turut menyebabkan sebuah pondok tol musnah dalam kebakaran tersebut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, bagaimanapun tidak melibatkan mangsa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi ke lokasi kejadian.
Katanya, sebaik jentera tiba pada pukul 3.04 petang, kebakaran melibatkan bahagian hadapan lori berkenaan yang membawa muatan cat dengan anggaran kemusnahan kira-kira 80 peratus.
“Kebakaran turut merebak dan melibatkan sebuah pondok tol berkeluasan kira-kira 4×10 kaki yang musnah sehingga 90 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman berjaya dikawal pada pukul 3.40 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya selepas keadaan disahkan selamat.
“Operasi berkenaan melibatkan kekuatan enam anggota bersama satu jentera Fire Rescue Tender (FRT),” jelasnya. – UTUSAN










