KUALA KRAI: Lebih RM50 bilion diperlukan untuk kerja-kerja penggantian paip asbestos usang di seluruh negara melibatkan jarak 39,000 kilometer dalam usaha mengurangkan kehilangan air terawat sekali gus menjamin bekalan lebih stabil kepada rakyat.
Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Datuk Seri Ir. Jaseni Maidinsa berkata, pihaknya menyasarkan kerja-kerja penggantian itu dijangka siap sepenuhnya pada 2050.
Katanya, bagaimanapun kerja-kerja itu tidak boleh dilakukan serentak kerana melibatkan kos yang besar selain faktor pelaksanaan di lapangan.
“Setiap tahun negara menanggung kerugian kira-kira RM2 bilion setahun akibat kebocoran paip dan langkah penggantian perlu diteruskan secara konsisten.
“Kerja-kerja penggantian paip perlu dibuat secara berfasa kerana mustahil untuk semua jalan digali pada satu-satu masa tanpa menjejaskan kelancaran trafik dan kehidupan penduduk,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Santuni MADANI PAAB di Maktab Rendah Sains MARA Kuala Krai, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Jaseni turut menyerahka replika cek bernilai RM50,000 sebagai sumbangan Kelestarian PAAB kepada MRSM Kuala Krai.
Mengulas lanjut, Jaseni memberitahu, PAAB telah melabur sebanyaak RM1.6 bilion setakat Mei lalu bagi meningkatkan kemudahan bekalan air di negeri itu, termasuk pembinaan loji rawatan air baharu dan penggantian paip.
“Kelantan mempunyai kira-kira 4,000 kilometer paip yang perlu diganti, jauh lebih tinggi berbanding Perlis yang mempunyai sekitar 700 kilometer.
“Sebab itu proses penggantian memerlukan masa dan perlu dilaksanakan secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan serta keutamaan semasa,” ujarnya. – UTUSAN










