KUALA LUMPUR: Lebih 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan menarik balik cadangan pemotongan peruntukan Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga RM4.65 bilion kerana dikhuatiri menjejaskan sistem kesihatan awam.
Memorandum bantahan diserahkan kepada Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman; Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman; Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi serta pegawai Kementerian Kewangan di pintu masuk Parlimen di sini hari ini.
Wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM), Hema berkata, kerajaan tidak sepatutnya mengurangkan peruntukan kesihatan ketika hospital dan fasiliti awam masih berdepan kekurangan dana.
Katanya, sebarang penjimatan yang diperoleh kerajaan perlu disalurkan semula kepada sektor kesihatan bagi memperkukuhkan perkhidmatan kepada rakyat.
“Kerajaan perlu menjelaskan secara terperinci perbelanjaan yang mahu dipotong dan bagaimana penjimatan itu akan digunakan.
“Jika ada penjimatan, dana tersebut perlu disalurkan semula kepada perkara yang lebih penting untuk memperkukuhkan sistem kesihatan awam negara,” katanya ketika ditemui pada sesi penyerahan memorandum hari ini.
Hema berkata, peruntukan kesihatan negara ketika ini hanya sekitar 2.3 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), jauh lebih rendah daripada sasaran lima peratus yang sering disyorkan pelbagai pihak.
“Kerajaan sepatutnya meningkatkan peruntukan dan mempertimbangkan cukai yang lebih tinggi terhadap golongan berpendapatan tinggi serta syarikat besar bagi menambah hasil negara,” katanya.
Sementara itu, Jawatankuasa Kempen Selamatkan Sistem Kesihatan Awam berkata, sistem kesihatan negara telah lama berdepan kekurangan tenaga kerja, fasiliti dan peralatan asas.
Menurut memorandum itu, kerajaan perlu mengemukakan pecahan terperinci mengenai kategori perbelanjaan yang terlibat dalam cadangan pemotongan tersebut bagi memastikan tiada perkhidmatan penting kepada rakyat terjejas.
Jawatankuasa itu turut membantah sebarang pengurangan peruntukan kepada hospital universiti dan menggesa kenaikan caj rawatan dibekukan sehingga alternatif hospital awam yang mencukupi dapat disediakan.
“Jawatankuasa Kempen Selamatkan Sistem Kesihatan Awam menyeru kerajaan menarik balik cadangan pemotongan besar terhadap KKM dan memastikan sistem kesihatan awam negara terus diperkukuhkan demi kepentingan rakyat,” katanya. – UTUSAN










