Lebih 33,000 warga asing ditahan salah guna Pas Lawatan Sosial

Lebih 33,000 warga asing ditahan salah guna Pas Lawatan Sosial

KETUA Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Dr. Awang Alik Jeman, (tiga dari kiri), diiringi Zakaria Shaaban, (dua dari kiri) beramah mesra dengan penerima Anugerah selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Asas dan Sijil Tinggi Keimigresenan Siri 1 2026 Jabatan Imigresen Malaysia di Port Dickson semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seramai 33,145 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen terma­suk menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial untuk bekerja, hasil 5,430 operasi di seluruh negara tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan itu diambil menerusi 5,430 operasi pe­nguatkuasaan yang dilaksanakan di seluruh negara melibatkan pemeriksaan terhadap 76,681 individu.

Katanya, seramai 868 majikan turut dikenakan tindakan kerana menggaji atau melin­dungi pendatang asing tanpa permit kerja dan pas yang sah.

“Daripada jumlah itu, 825 majikan adalah warga tempatan manakala 43 lagi merupakan warga asing. Kita tidak menafikan terdapat segelintir warga asing yang memasuki negara ini menggunakan Pas Lawatan Sosial, namun kemudiannya me­nyalahgunakan kemudahan itu untuk bekerja atau menjalankan perniagaan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Zakaria berkata, isu penyalahgunaan pas lawatan sosial sering menjadi perhatian masyarakat kebelakangan ini, namun tanggungjawab mena­ngani masalah tersebut tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada agensi penguat kuasa.

Katanya, majoriti pihak yang menggaji dan memberi perlin­dungan kepada warga asing tanpa dokumen sah adalah rakyat tempatan sendiri.

“Kalau kita lihat statistik, hampir 95 peratus majikan yang diambil tindakan merupakan warga tempatan. Mereka inilah yang memberi ruang kepada warga asing untuk berada dan bekerja secara tidak sah di negara ini.

“Justeru, kita tidak akan lagi berkompromi dan tindakan lebih tegas akan diambil terhadap mana-mana majikan yang menggaji atau melindungi pekerja asing tanpa permit dan pas yang sah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN