KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menegaskan pelantikan ketua bagi Masyarakat Rohingya Kelantan (MRK) di setiap daerah yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu dibuat sendiri oleh etnik berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, ia tidak ubah seperti melantik ketua rombongan untuk pergi ke perkhemahan dalam hutan.
“Mereka tidak didaftarkan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau kerajaan negeri.
“Tetapi jika dibiarkan, ia akan jadi bahaya kerana takut jadi macam kumpulan kongsi gelap,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas kumpulan etnik Rohingya melantik ketua daerah masing-masing yang tular di laman sosial Facebook kelmarin.
Situasi itu mengundang kebimbangan penduduk tempatan di Kelantan yang mendesak siasatan lanjut dijalankan pihak berkuasa.
Mengulas lanjut, Hilmi memberitahu, satu-satu perhimpunan rasmi atau berkumpul sepatutnya perlu mengikut peraturan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Katanya, kumpulan berkenaan perlu memohon lesen dengan pihak polis bagi memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah sekurang-kurangnya dalam tempoh lima hari sebelum perjumpaan dengan menyatakan masa dan tempat.
“Ketua Polis Daerah akan mengenakan syarat-syarat yang sesuai. Ketua Polis Daerah akan tampal makluman di premis sekitar jika ada bantahan awam. Sekiranya tidak ada bantahan mereka boleh berhimpun.
“Jika tiada makluman, ia menjadi satu kesalahan kerana akan mencurigakan orang awam. Bagaimanapun, perhimpunan berbentuk keagamaan, perkahwinan, pengebumian dan perayaan, ia tidak perlu dimaklumkan,” ujarnya.-UTUSAN









