PETALING JAYA: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) tambahan ke selatan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi memudahkan orang ramai pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
KTMB memaklumkan, tiket bagi perkhidmatan tambahan itu mula dijual pada pukul 12 tengah hari ini.
“Pembelian tiket boleh dibuat menerusi aplikasi KTMB Mobile, KITS Style, laman sesawang online.ktmb.com.my atau mesin kios tiket KTMB.
“Jom balik mengundi. ETS tambahan ke selatan sempena PRN Johor bagi tarikh perjalanan dari 10 hingga 12 Julai,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai sebagai hari pengundian bagi PRN Johor.
Tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRN Johor pula masing-masing ditetapkan pada 27 Jun dan 7 Julai.-UTUSAN










