KUALA LUMPUR: KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) bersedia untuk melipatgandakan usaha bagi memperkasa segmen pelancongan kesihatan supaya menyumbang sebanyak 15 peratus kepada keseluruhan pendapatan kumpulan pada masa hadapan.
Langkah strategik tersebut diambil bagi membolehkan kumpulan meraih margin keuntungan yang lebih baik daripada pasaran pesakit luar negara, sekali gus menyamai prestasi beberapa pemain industri lain di pasaran tempatan.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, bagi tahun kewangan 2025, segmen pelancongan kesihatan kumpulan mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 13.4 peratus iaitu mencecah RM263 juta berbanding RM232 juta pada tahun sebelumnya.
Meskipun menunjukkan aliran peningkatan yang konsisten, portfolio tersebut setakat ini hanya menyumbang sekitar 6.2 peratus kepada keseluruhan prestasi kewangan kumpulan bagi tahun berkenaan.
“Sumbangan sebanyak 6.2 peratus ini pun sudah memberikan limpahan margin keuntungan yang baik kepada pertumbuhan hasil kumpulan yang meningkat sembilan peratus, selain menyumbang kepada margin keuntungan kasar (GP) sebanyak 45 peratus dan margin keuntungan selepas cukai sekitar sembilan hingga 10 peratus.
“Oleh itu, kami menyasarkan untuk melonjakkan sumbangan ini kepada 15 peratus. Kami tidak dapat membayangkan betapa besarnya kesan penambahan yang luar biasa kepada margin keuntungan bersih kumpulan sekiranya sasaran itu berjaya dicapai kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-33 kumpulan di sini semalam.
Mengulas lanjut, Keat Chyuan berkata, kumpulan kini fokus memperkasakan KPJ Health System yang menyepadukan amalan klinikal bersama aspek pendidikan, penyelidikan dan inovasi secara menyeluruh.
Ujarnya, langkah itu merangkumi peningkatan taraf kolej kumpulan kepada KPJ University yang kini berupaya melahirkan antara 400 hingga 500 jururawat setahun, sekali gus mencatatkan kadar pusingan kerja antara yang terendah dalam industri.
“Selain itu, kumpulan turut meningkatkan sumbangan kepakaran sub-khusus daripada 25 peratus pada tahun 2023 kepada hampir 35 peratus ketika ini bagi memacu pembangunan Pusat Kecemerlangan (CoE) dalam bidang jantung, paru-paru, neuro, strok, ortopedik dan onkologi.
“Kelebihan utama kami adalah status sebagai rangkaian hospital pertama dan tunggal di negara ini yang menganggotai Rangkaian Penjagaan Mayo Clinic (MCCN).
“Malah, melalui penubuhan CoE, kami menawarkan pendekatan Rawatan Pelbagai Disiplin (MDT) yang mengumpulkan sekumpulan pakar khusus untuk menilai kes pesakit secara komprehensif, sekali gus menjadikan perkhidmatan kami lebih selamat serta dipercayai oleh pesakit asing,” katanya.
Dari segi pengembangan fizikal, lembaga pengarah kumpulan telah meluluskan pelan pelaburan untuk memperluas kapasiti katil hospital secara berfasa, daripada 4,000 katil sedia ada kepada kira-kira 6,000 katil menjelang tahun 2030.
Mengulas mengenai rancangan kerajaan untuk memperkenalkan sistem Kumpulan Berkaitan Diagnosis (DRG) bagi menangani inflasi kos perubatan, Keat Chyuan berkata, sebagai persediaan, KPJ Healthcare telah melaksanakan perancangan senario berasaskan kes terbaik, sederhana dan terburuk, selain mengoptimumkan pengurusan kos dalaman sejak 2023.
Malah, katanya, dengan kekuatan rangkaian 30 hospital di seluruh negara termasuk di bandar-bandar luar rantaian utama, KPJ Healthcare telah dipilih untuk menyertai projek rintisan produk Insurans dan Takaful Kesihatan Mampu Milik (MHIT).
“Inisiatif MHIT ini bakal memperluas akses pasaran kami kepada golongan M40, potensi B40 dan lebih utama kepada 18.1 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang boleh menggunakan akaun mereka untuk melanggan produk ini,” katanya.
Tambahnya, bagi operasi luar negara, kumpulan telah melupuskan (divested) pegangan perniagaannya di Indonesia dan Bangladesh, serta mengekalkan tumpuan pelaburan kepada segmen perkampungan persaraan Jetta Garden di Australia dan Hospital Vejthani di Thailand. – UTUSAN










