Kos terapi autisme cecah RM10,000 sebulan - Utusan Malaysia

Kos terapi autisme cecah RM10,000 sebulan

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Kos terapi penjagaan kanak-kanak autistik mencecah hingga RM10,000 sebulan di pusat terapi swasta, bergantung kepada jenis terapi diperlukan yang ditentukan pakar.

Pengurus Pengumpulan Dana dan Komunikasi Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), Mohd. Zakwan Zainal berkata, beban tanggungan itu menjadikan diagnosis awal amat penting bagi memastikan ibu bapa dapat merancang rawatan, intervensi serta sokongan yang sesuai sejak peringkat awal.

Katanya, langkah tersebut juga dapat mengelakkan kelewatan yang boleh meningkatkan kos penjagaan serta memberi kesan kepada perkembangan kanak-kanak dalam jangka panjang.

“Tanpa pengesanan awal, ibu bapa turut berisiko tidak menyedari bentuk penjagaan khas diperlukan, termasuk terapi berbeza mengikut tahap perkembangan dan keadaan kanak-kanak autistik.

“Ini kerana, terdapat kanak-kanak autistik turut berdepan cabaran deria seperti sensitiviti terhadap bunyi kuat dan suasana sesak, sekali gus memerlukan pendedahan sosial secara berperingkat dan terkawal.

“Antara terapi yang terlibat termasuk terapi tingkah laku, terapi pertuturan serta intervensi sosial yang ditentukan berdasarkan diagnosis pakar, sama ada melibatkan kelewatan pertuturan, masalah sosial atau perkembangan tertentu,” katanya dalam sidang akhbar program permainan inklusif sempena Hari Bermain Sedunia dan Hari Bermain Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Dewan Utama Taylor’s College Lakeside Campus di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Program Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak Taylor’s College, Nurul Iman Arshad berkata, intervensi awal terhadap kanak-kanak autistik perlu dilaksanakan segera selepas diagnosis dibuat bagi meningkatkan kemahiran sosial, komunikasi dan tingkah laku sebelum mereka memasuki alam persekolahan.

Katanya, pengesanan awal membolehkan ibu bapa serta pendidik memahami keperluan sebenar kanak-kanak dan menyediakan sokongan bersesuaian.

“Ibu bapa tidak seharusnya takut mendapatkan diagnosis kerana langkah itu penting bagi menentukan bentuk pembelajaran, terapi dan bimbingan yang sesuai untuk anak mereka.

“Diagnosis bukan bertujuan melabel atau menghukum kanak-kanak, sebaliknya membantu menentukan kaedah pembelajaran, intervensi dan sokongan paling berkesan untuk perkembangan mereka,” katanya.

Tambah Nurul Iman, permainan memainkan peranan penting dalam pendidikan awal kanak-kanak kerana kaedah itu membolehkan proses pembelajaran berlangsung secara semula jadi, aktif dan menyeronokkan.

Katanya, melalui program kerjasama antara pelajar Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak Taylor’s College dan NASOM, mereka berjaya menghimpunkan kira-kira 100 kanak-kanak berusia antara tiga hingga 12 tahun bersama keluarga masing-masing.

“Sebanyak 18 stesen permainan interaktif telah disediakan merangkumi aktiviti numerasi, penyelesaian masalah, kemahiran motor, kreativiti serta komunikasi sosial,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN