Hadiahkan kereta, adik adalah individu yang paling banyak berjasa - Azhan Rani - Utusan Malaysia

Hadiahkan kereta, adik adalah individu yang paling banyak berjasa – Azhan Rani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Azhan Rani mengakui dirinya sudah lama memasang niat untuk menghadiahkan adiknya, Sahrul Nizam Abdul Rani, 47, sebuah kereta sebagai tanda penghargaan menjaga ibunya, Salmah Budin.

Menurut Azhan, dia berasa lega apabila hasrat yang dipendam sejak arwah bapanya meninggal dunia akhirnya membuahkan hasil selepas bertahun-tahun menabung.

“Sebenarnya sudah lama saya berniat nak buat perkara ini. Bukan apabila dapat duit, terus boleh beli. Saya memang sudah lama mengumpul, sejak arwah bapa masih ada lagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya memang berniat nak hadiahkan kepadanya, tetapi ketika itu keadaan ekonomi tidak begitu baik dan saya belum mampu. Jadi, saya kumpul sedikit demi sedikit dan akhirnya, alhamdulillah, dapat juga belikan untuk dia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Azhan mengulas perkara itu selepas tular sebuah video yang memaparkan dirinya menghadiahkan sebuah kenderaan jenama Jetour buat adiknya di Threads.

Tambah Azhan, keinginan itu semakin kuat selepas melihat adiknya yang mesra disapa dengan panggilan manja, Ijam itu menunjukkan minat terhadap kenderaan berkenaan ketika mereka berada di sebuah bilik pameran kereta tersebut.

“Saya perasan dia banyak bertanya mengenai kereta itu. Lagipun, kereta yang dia gunakan sekarang sudah agak lama. Saya tahu dia berminat sebab ketika berada di bilik pameran, dia banyak bertanya kepada jurujual.

“Tetapi apabila jurujual terangkan mengenai harga dan sebagainya, dia terus diam. Saya pernah tanya sama ada dia suka kereta itu dan dia mengaku memang suka. Jadi, saya buat-buat diam sahaja sehingga duit cukup. Alhamdulillah, akhirnya saya dapat hadiahkan kepadanya,” jelasnya.

Dalam masa sama, pelakon drama Bulan Henti Bicara itu memaklumkan pemilihan kenderaan berkenaan turut mengambil kira keselesaan untuk membawa ibunya ke mana-mana, selain mempunyai ruang yang lebih sesuai untuk meletakkan kerusi roda.

Berkongsi mengenai hubungan mereka, Azhan menyifatkan adik bongsunya itu merupakan individu yang banyak berkorban untuk keluarga terutama dalam menjaga ibu mereka.

“Sebenarnya, di sebalik hubungan kami ada macam-macam cerita. Hubungan adik-beradik memang ada turun naiknya. Ketika kecil, saya selalu bergaduh dengan adik. Kami ibarat api dengan air, susah untuk rapat. Tetapi apabila semakin dewasa dan berusia, semuanya berubah.

“Orang yang dahulu selalu bercanggah dengan saya, rupa-rupanya dialah individu yang paling banyak berjasa. Orang mungkin nampak saya banyak melakukan sesuatu untuk mak. Tetapi sebenarnya, saya selalu katakan bahawa ‘unsung hero’ saya ialah adik saya. Orang nampak saya kerana mereka kenal saya, tetapi mereka tidak kenal adik saya.

“Namun, saya tahu siapa sebenarnya yang lebih layak menerima penghargaan dan kredit. Orang itu ialah adik saya. Adik-beradik lain semuanya baik juga, cuma mereka mempunyai komitmen keluarga masing-masing dan tinggal agak jauh.

“Tetapi adik saya inilah yang betul-betul tinggal bersama mak. Jadi, saya rasa dia memang layak menerima penghargaan ini. Kalau saya mampu, saya mahu beri kepada semua adik-beradik. Tetapi kita buat satu demi satu, insya-Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Azhan turut menjelaskan perkongsian mengenai hadiah tersebut bukan bertujuan menunjuk-nunjuk, sebaliknya sekadar mahu merakamkan momen bermakna bersama adiknya.

“Kalau perkongsian itu boleh memberi inspirasi kepada orang lain untuk lebih menghormati dan menghargai hubungan adik-beradik serta keluarga, saya rasa gembira. Saya bukan berniat hendak menunjuk-nunjuk.

“Saya cuma mahu merakamkan momen itu sebagai kenangan. Saya sangat berharap orang tidak melihat perkara ini sebagai satu tindakan untuk menunjuk-nunjuk. Memang langsung tiada niat seperti itu,” katanya.

Difahamkan, Azhan telah menghadiahkan adiknya kereta jenis Jetour Dashing Black Worrior edisi istimewa sempena Hari Kemerdekaan yang ke-69.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN