JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak mengesan trend kenaikan harga barangan yang luar biasa susulan ketidaktentuan geopolitik global di Asia Barat yang terus berlarutan.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, pihaknya akan melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan kestabilan bekalan dan harga barangan keperluan harian di pasaran kekal.
Menurutnya, turun naik harga barangan dipengaruhi pelbagai faktor domestik dan luaran namun tiada sebarang petunjuk berlakunya lonjakan harga secara mendadak setakat ini.
“Kita memang memantau rapat harga barangan keperluan harian. Memang ada berlaku turun naik disebabkan faktor tertentu seperti keadaan cuaca atau penurunan produktiviti menyebabkan permintaan meningkat sekali gus memberi kesan kepada harga.
“Bagaimanapun, hasil pemantauan mendapati setakat ini belum ada lagi trend kenaikan harga yang boleh dikategorikan sebagai luar biasa,” katanya semasa sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Kilang Roti SDS Food Manufacturing Sdn. Bhd., di Jalan Kempas Lama, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, kementerian itu kini giat mengadakan sesi libat urus dengan pihak pengeluar di pelbagai peringkat industri secara berterusan bertujuan menilai kesan ketidaktentuan geopolitik global terhadap rantaian bekalan serta kelangsungan operasi pengeluaran pasaran tempatan.
“KPDN bertanggungjawab memastikan bahawa ada bekalan dan keperluan untuk menyerap kos pengeluaran selain bertanggungjawab untuk memastikan bahawa hak pengguna itu dilindungi.
“Pemantauan di peringkat akar umbi ini amat kritikal bagi memastikan sebarang gangguan dalam rantaian pengeluaran dapat ditangani awal, sekali gus mengelakkan implikasi kenaikan harga yang akhirnya akan membebankan pengguna,” katanya. – UTUSAN










