IPOH: Sebuah buku telah dihasilkan bagi menceritakan sumbangan bekas jurulatih legenda dalam kancah bola sepak tempatan, Karl-Heinz Weigang kepada pasukan negeri Perak.
Buku bertajuk ‘Kisah Di Sebalik Tabir, di Bumi Perak: Karl-Heinz Weigang’ itu ditulis oleh Zubir Shaharani, 42, yang mengambil masa hampir sembilan bulan untuk menyiapkan penulisan tersebut.
Katanya, idea menghasilkan buku berkenaan timbul sewaktu beliau berbual dengan bekas pemain Perak, Raja Azlan Shah Raja So’ib tentang Weigang.
Tambahnya, mendiang Weigang terlibat bersama Perak dalam tiga fasa iaitu yang pertama dari tahun 1997 hingga 2001, 2014 serta 2016 hingga 2017.
Jelasnya, tujuan beliau menghasilkan buku itu adalah kerana mendapati kurangnya kisah mengenai bola sepak Perak meskipun mempunyai rekod yang gah.
“Saya harap buku ini mengimbau semula kenangan buat peminat dan penyokong pasukan Perak,” katanya dalam majlis pelancaran buku itu di sini hari ini.
Seramai 19 individu yang terdiri daripada bekas pemain dan pegawai pasukan Perak ditemu bual dalam penghasilan buku tersebut.
Weigang berasal dari Jerman dikenali sebagai jurulatih yang membawa Malaysia layak ke Sukan Olimpik pada tahun 1980 di Moscow, namun tidak menyertai acara tersebut akibat konflik politik.
Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada 13 Jun 2017 ketika usia 81 tahun selepas mengalami serangan jantung di Jerman.
“Mendiang seorang yang tegas. Namun seorang yang penyayang terhadap pemain dan kakitangannya,” kata Zubir.
Sementara itu bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharudin melihat kepentingan penghasilan buku tersebut sebagai usaha memperkayakan maklumat sejarah sukan negeri Perak.
“Mendiang rapat dengan penyokong. Dia seorang ikon. Apabila disebut sahaja tentang Weigang, pasti mendiang dikaitkan dengan Perak,” katanya.
Sejarah popular Weigang bersama Perak bermula apabila mendiang berjaya membawa pasukan negeri ini menjuarai Piala Malaysia 1998. – UTUSAN










