KUALA LUMPUR: Program Pemandu Sihat dan Selamat (PSS) mampu menjadi langkah intervensi awal bagi membendung risiko kemalangan jalan raya dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan dan pengangkutan awam.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, faktor kesihatan seperti keletihan, mengantuk, tekanan kerja dan penyakit tidak berjangkit (NCD) dikenal pasti antara penyumbang utama kepada risiko kemalangan jalan raya melibatkan pemandu komersial.
“Jumlah angka korban pekerja dalam kemalangan jalan raya meningkat kepada 115 kes pada tahun 2025 berbanding 94 kes pada tahun 2024.
“Jumlah ini merangkumi pelbagai kategori pekerja yang bergantung kepada jalan raya termasuklah pemandu lori, bas, van, kereta dan motosikal.
“Pemandu lori merekodkan kadar kematian tertinggi iaitu 62 kes atau 21 peratus,” katanya pada majlis pelancaran Program Pemandu Sihat dan Selamat di sini, hari ini.
Katanya, saringan kesihatan yang menjadi instrumen utama program ini dipermudahkan kepada pemandu yang memiliki Lesen Kenderaan Barangan (Lesen Kelas GDL E Kejur/Bersendi) dan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (Lesen PSV E Bas).
“Pemeriksaan kesihatan komprehensif itu merangkumi pemeriksaan fizikal, penglihatan dan pendengaran, saringan gangguan tidur seperti Obstructive Sleep Apnea (OSA), penilaian sistem kardiovaskular, respiratori, neurologi dan muskuloskeletal serta ujian HbA1c bagi pemandu yang mempunyai rekod diabetes.
“Program ini terbuka kepada warganegara Malaysia berumur antara 40 hingga 59 tahun yang merupakan pencarum aktif di bawah Skim Lindung Pekerja atau Lindung Kendiri serta memiliki lesen vokasional PSV E (Bas), GDL E (Kejur) atau GDL E (Bersendi),” katanya.
Beliau berkata, sasaran program itu ialah 3,000 klinik panel di seluruh negara supaya pemandu boleh mendapatkan pemeriksaan kesihatan dengan mudah.
“Program ini dijalankan secara bayaran bersama di mana pemandu hanya perlu membayar RM30 bagi menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh manakala baki kos sebanyak RM55 ditanggung oleh kerajaan dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi tahun pertama,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, isu kesihatan pemandu merupakan isu keselamatan awam kerana risiko yang ditanggung turut melibatkan penumpang dan pengguna jalan raya lain.
Katanya, fenomena microsleep iaitu keadaan seseorang tertidur secara tidak sedar untuk beberapa saat ketika memandu pada kelajuan lebuh raya boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan atau terbabas.
“Kita tidak boleh menunggu sehingga kemalangan berlaku baru hendak bertindak.
“Pendekatan yang bertanggungjawab ialah mengenal pasti faktor risiko lebih awal, membantu pemandu mendapatkan nasihat dan rawatan yang sesuai serta memastikan hanya pemandu yang benar-benar sihat dan layak berada di jalan raya,” katanya.
Katanya, pemeriksaan kesihatan bagi pemegang lesen vokasional termasuk PSV dan GDL telah lama diwajibkan sebagai sebahagian proses pelesenan.
“Apa yang kita lakukan hari ini ialah menambah baik cara pelaksanaannya. Melalui integrasi digital antara sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Perkeso dan klinik panel, proses pengesahan pemeriksaan kesihatan dapat diperkemas, mengurangkan birokrasi serta mempercepatkan urusan pemandu,” katanya.
“Pengusaha bas, lori dan syarikat pengangkutan perlu memberikan sokongan penuh kepada program ini dan tidak melihatnya sebagai beban pentadbiran.
“inisiatif ini dijayakan menerusi peruntukan keseluruhan berjumlah RM12.4 juta di mana RM7 juta disumbangkan oleh Perkeso dan RM5.4 juta daripada Kementerian Kewangan,” katanya. – UTUSAN










