Kes demam denggi meningkat di Perak, catat satu kematian - Utusan Malaysia

Kes demam denggi meningkat di Perak, catat satu kematian

A. SIVANESAN menunjukkan laporan mingguan kes demam denggi pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak merekodkan sebanyak 1,248 kes demam denggi setakat Minggu Epidemiologi ke-24 tahun 2026, dengan peningkatan ketara sebanyak 196 kes bersamaan 18.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A. Sivanesan berkata, sebanyak 81 kes baharu direkodkan pada minggu tersebut sahaja.

“Peningkatan itu menunjukkan keadaan yang perlu diberi perhatian serius apabila jumlah kes kini melebihi paras median lima tahun.

“Pada minggu epidemiologi ke-24 ini sahaja, sebanyak 81 kes telah didaftarkan menjadikan jumlah kumulatif 1,248 kes setakat tahun ini,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Menurut beliau, sembilan daerah di Perak mencatatkan kes demam denggi dengan daerah Kinta mencatatkan jumlah tertinggi.

Katanya, daerah Kinta merekodkan 68 kes pada ME24, diikuti Manjung (4 kes), manakala Kerian dan Larut, Matang dan Selama (LMS) masing-masing dua kes.

Beliau berkata, hotspot utama dikenal pasti di daerah Kinta termasuk Cherry Apartment dengan 48 kes, Kampung Baru Bemban (24 kes) dan Kampung Tengku Hussein Hujung (15 kes).

“Selain itu, Kampung Temiang turut merekodkan 10 kes menjadikannya antara kawasan tumpuan penularan,” katanya.

Menurutnya, terdapat satu kes kematian dilaporkan di daerah Muallim melibatkan seorang lelaki berusia 53 tahun dari Slim River.

“Pesakit berkenaan dimasukkan ke Hospital Slim River sebelum meninggal dunia pada 28 Januari 2026. Ini satu-satunya kes kematian demam denggi setakat ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN