Kertas kerja Skim Pengembara di fasa akhir sebelum dilaksana - Utusan Malaysia

Kertas kerja Skim Pengembara di fasa akhir sebelum dilaksana

MENTERI Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan menyaksikan Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) PERKESO, Azirruan Arifin (kanan) menyampaikan faedah hilang upaya sementara kepada Muhammad Muazrin Arifin berjumlah RM7,488 sempena Majlis Perasmian Karnival Lindung Kerjaya Madani di Dewan Konvensyen Setia, Setia Tropika, Johor Bahru disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kertas kerja Skim Pengembara yang memberikan perlindungan sosial kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara khususnya di Singapura dijangka akan diselesaikan menjelang Ogos depan sebelum dikuatkuasakan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kini sedang memuktamadkan inisiatif yang bakal memberi manfaat kepada seramai 480,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

“Kita akan mulakan proses pembentangan kertas cadangan tersebut di Parlimen yang mula bersidang esok. Kita juga akan adakan sesi libat urus dengan ahli-ahli Parlimen bagi menerangkan manfaat program ini.

“Selepas mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, skim ini akan dilaksana secepat mungkin untuk dimanfaatkan rakyat yang berulang-alik bekerja antara Johor dan Singapura demi perlindungan sosial mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Lindung Kerjaya MADANI di Setia Tropika Convention Centre, Setia Tropika, di sini hari ini.

Tambah Ramanan, Skim Pengembara itu akan dilaksana melalui perluasan liputan perlindungan di bawah Akta 789 atau Skim Lindung Kendiri di bawah seliaan PERKESO yang membolehkan individu layak membuat caruman bagi mendapatkan akses kepada lapan jenis faedah yang ditawarkan.

Pada masa sama, beliau memberitahu kadar pengangguran di negeri ini kekal rendah pada paras 2.4 peratus bagi suku pertama tahun ini, sekali gus mengatasi prestasi purata nasional pada tahap 2.9 peratus.

“Selain kadar pengangguran yang rendah, Johor turut merekodkan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) sebanyak 71.6 peratus, melepasi kadar purata nasional iaitu 70.9 peratus.

“Prestasi positif ini didorong oleh pelbagai usaha pemadanan pekerjaan yang dilaksanakan menerusi portal MYFutureJobs serta kerjasama erat antara kerajaan, majikan dan agensi berkaitan,” katanya.

Tambahnya, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 66,661 kekosongan jawatan telah diiklankan melalui MYFutureJobs, manakala seramai 361,067 individu berdaftar sebagai pencari kerja di Johor.

“Daripada jumlah pencari kerja yang berdaftar itu, seramai 161,893 individu berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor pekerjaan, sekali gus membantu mengukuhkan lagi kedudukan pasaran buruh negeri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN