PETALING JAYA: ASEAN dan Russia berpotensi memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang strategik termasuk keselamatan makanan, tenaga, teknologi digital, pendidikan serta pembangunan bakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama itu penting ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan persaingan teknologi yang semakin sengit.
Katanya, negara-negara perlu memperkukuh kerjasama dan tidak bergerak secara bersendirian bagi mendepani cabaran berkenaan.
“ASEAN telah membuktikan dirinya sebagai antara rantau ekonomi paling dinamik dan berdaya tahan, berteraskan keterbukaan, keterangkuman dan kerjasama.
“Dalam semangat sama, ASEAN dan Russia mempunyai potensi besar untuk memperluas kerjasama dalam bidang strategik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Anwar berkata, beliau turut mengalu-alukan pembangunan Program Strategik ASEAN-Russia Mengenai Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan 2026-2035 apabila ia bakal memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua pihak.
“ASEAN akan terus mempertahankan sistem perdagangan yang terbuka, adil dan berpandukan peraturan yang dipersetujui bersama.
“Dalam dunia yang semakin tidak menentu, daya tahan ekonomi mesti diperkukuh tanpa mengorbankan semangat kerjasama,” katanya.
Anwar turut memetik kata-kata penyair agung Tatarstan, Abdullah Tukay bahawa kebahagiaan sebenar dicapai melalui khidmat kepada rakyat.
Katanya, pesanan itu mengingatkan bahawa matlamat utama setiap dasar dan kerjasama ekonomi adalah untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Segala persefahaman yang dicapai mesti diterjemahkan kepada tindakan yang menjana peluang, mencipta kemakmuran dan membawa manfaat nyata kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN










