KUALA LUMPUR: Akibat buta kerana cinta, seorang bekas juruwang sanggup menyeleweng pin tambah nilai Touch ‘n Go (TnG) eWallet melebihi setengah juta ringgit bagi menanggung kekasihnya.
Bagaimanapun, nasib Nur Atiqah Asyirah Muhamad Fauzi, 29, tidak ubah seperti kata pepatah, habis madu, sepah dibuang.
Wanita itu bukan sahaja putus cinta selepas ‘membantu’ bekas kekasihnya mendapatkan kenderaan malah kini perlu meringkuk di penjara akibat kesalahan yang dilakukannya.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam bela, Arik Zakri Abdul Kadir ketika mengemukakan rayuan bagi anak guamnya.
“Beliau dimanipulasi seorang bekas kekasih yang mana kesalahan dilakukan (adalah) untuk menampung gaya hidup (lelaki itu) sehingga dapat membeli kenderaan dan sebagainya.
“Untuk makluman, tertuduh sebelum ini telah berkhidmat selama hampir lapan tahun sebagai juruwang di tempat kejadian. Beliau merupakan seorang pekerja yang berdedikasi jadi kesalahan ini adalah satu penyimpangan luar biasa.
“Jadi di sini, saya merayu hukuman paling minimum diberikan kepada tertuduh. Tertuduh juga pesalah pertama selain ibunya yang dimasukkan ke hospital Selasa lalu kerana serangan angin ahmar,” kata peguam itu.
Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Norma Ismail kemudian memerintahkan Nur Atiqah Asyirah dipenjara dua tahun selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah atas 14 pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram berjumlah RM568,200, tiga tahun lalu.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman pemenjaraan bagi kesemua pertuduhan itu berjalan secara serentak bermula hari ini.
Mengikut dua pertuduhan pecah amanah, tertuduh sebagai pekerja sebuah pasar raya didakwa telah menyalahgunakan mesin terminal pin TnG milik syarikat dengan mengeluarkan nilai pin bernilai RM98,800.
Pin itu kemudian ditebus nilai ke dalam akaun TnG eWallet miliknya sendiri.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah pasar raya di Kepong di antara 7 Januari 2023 dan 9 Julai 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dengan sebat dan denda.
Tertuduh terlepas hukuman sebat kerana peruntukan Seksyen 289 (a) Kanun Acara Jenayah menyatakan bahawa hukuman sebat tidak boleh dikenakan ke atas mana-mana pesalah wanita.
Bagi 12 pertuduhan pengubahan wang haram, Nur Atiqah Asyirah didakwa memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM469,400 kepada akaun bank miliknya dan beberapa akaun TnG eWallet milik ahli keluarganya.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah pasar raya di Kepong di antara 1 Januari 2023 dan 6 Ogos 2024.
Kesemua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan juga boleh dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah hasil atau denda RM5 juta atau mana-mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Batrisyia Mohd. Khusri memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal mengambil kira kedudukannya sebagai juruwang kanan dan kepentingan awam.
“Perbuatan tertuduh bukan sahaja melibatkan kerugian terhadap syarikat, namun ia juga dilakukan secara terancang yang mana terdapat transaksi selama dua tahun dan bukanlah secara kesalahan satu kali ataupun one-off.
“Oleh itu, ini bukanlah suatu kesilapan sesaat malahan merupakan satu siri pengkhianatan amanah yang sistemik,” katanya.
Mengikut fakta kes, perbuatan itu terbongkar selepas pengurus pasar raya itu mengesyaki Nur Atiqah telah mengambil sebuah mesin peranti terminal e-pay tanpa kebenaran.
Hasil semakan rekod e-pay kemudian mendapati tertuduh telah menggunakan mesin peranti terminal tersebut bagi tujuan tambah nilai e-wallet TnG sejak Ogos 2022 hingga Julai 2024 untuk kegunaan peribadi. – UTUSAN










