PETALING JAYA: Pasaran saham tempatan memerlukan kemasukan dana asing, pertumbuhan sektor teknologi dan kepastian berhubung tarif Amerika Syarikat (AS) untuk membolehkan indeks itu menembusi paras 1,750 mata.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, dalam tempoh satu hingga tiga bulan akan datang, pasaran dijangka berdepan tiga senario utama bergantung kepada perkembangan faktor makroekonomi global dan aliran dana pelabur.
“Bagi senario positif, FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) berpotensi bergerak antara 1,700 hingga 1,730 mata sekiranya kadar faedah di AS diturunkan, di samping kemasukan semula pelaburan asing ke pasaran tempatan serta keadaan berkaitan isu tarif AS yang semakin reda.
“Sementara itu, bagi senario asas, indeks dijangka kekal bergerak mendatar dalam julat 1,660 hingga 1,700 mata apabila pelabur masih mengambil pendekatan berhati-hati sementara menunggu petunjuk baharu yang lebih jelas daripada pasaran global.
“Selain itu, senario negatif pula FBM KLCI berkemungkinan susut ke paras 1,630 hingga 1,635 mata sekiranya berlaku ketegangan lanjut berkaitan tarif AS, tekanan inflasi yang meningkat serta kelembapan berterusan dalam aliran pelaburan asing ke rantau ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai prestasi pasaran ekuiti serantau beliau berkata, Malaysia masih ketinggalan berbanding kebanyakan pasaran serantau yang mencatatkan prestasi lebih kukuh setakat tahun ini.
“Berdasarkan prestasi tahun sehingga kini, pasaran utama seperti Korea Selatan mencatatkan kenaikan paling tinggi iaitu 76 peratus, diikuti Hong Kong sebanyak 30.6 peratus, Taiwan 26.8 peratus, Jepun 26.2 peratus, Singapura 22.7 peratus dan Indonesia 22 peratus.
“Dalam tempoh sama, Malaysia hanya merekodkan kenaikan sekitar 0.37 peratus.
“Perbezaan ketara ini mencerminkan bahawa sentimen pelabur terhadap pasaran tempatan masih agak lemah berbanding negara serantau lain yang lebih mendapat manfaat daripada aliran modal dan tema pertumbuhan global,” jelasnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan i-CATS University College, Kuching, Profesor Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, FBM KLCI dalam tempoh satu hingga tiga bulan akan datang adalah lebih kepada keadaan pergerakan mendatar dalam julat tertentu (range-bound).
“Ini bermaksud pasaran berkemungkinan akan bergerak naik dan turun dalam satu julat harga tanpa menunjukkan arah aliran yang terlalu kuat atau jelas.
“Situasi ini berlaku kerana pasaran masih berada dalam fasa menunggu beberapa pemangkin utama.
“Ini termasuk hala tuju kadar faedah di AS, aliran dana asing ke pasaran serantau, keputusan pendapatan korporat bagi suku akan datang, serta perkembangan geopolitik global yang masih tidak menentu,” ujarnya.
Beliau berkata, dari sudut positif, terdapat beberapa faktor sokongan yang boleh membantu mengekalkan sentimen pasaran.
“Antaranya ialah prestasi bank-bank di Malaysia yang masih mencatatkan keuntungan yang kukuh, kestabilan nilai ringgit berbanding tahun sebelumnya, serta kesinambungan projek infrastruktur dan pelaburan domestik yang terus berjalan.
“Namun begitu, risiko masih wujud dan perlu diberi perhatian seperti kemungkinan Rizab Persekutuan (Fed) mengekalkan kadar faedah yang tinggi untuk tempoh lebih lama, peningkatan semula ketegangan geopolitik global, serta kelembapan ekonomi China yang mungkin memberi kesan kepada rantau ini,” jelasnya. –UTUSAN










