LENGGONG: Hilang kawalan kenderaan ketika cuba memotong dipercayai punca nahas yang mengorbankan seorang pegawai kanan polis dan seorang guru wanita di Kilometer 29.3, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu, di sini semalam.
Dalam kejadian yang dilaporkan pada pukul 5.10 petang itu, Inspektor Melvindar Singh Gamum Singh, 41, yang memandu Toyota Vios maut di lokasi kejadian selepas kenderaannya bertembung secara berdepan dengan sebuah Honda Odyssey yang dinaiki enam guru.
Turut terkorban dalam kejadian itu, Zuraida Abu Bakar, 47, yang merupakan guru di Kolej Vokasional Gerik.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, siasatan awal mendapati Toyota Vios dipandu pegawai kanan polis itu dalam perjalanan dari Gerik menghala ke Kuala Kangsar sebelum dipercayai hilang kawalan ketika cuba memotong sebuah kenderaan.
Katanya, kereta tersebut kemudian memasuki laluan bertentangan lalu bertembung secara berdepan dengan kereta Honda Odyssey yang dipandu seorang guru wanita berusia 44 tahun yang dalam perjalanan dari arah Kuala Kangsar menuju ke Gerik.
“Akibat kemalangan itu, pemandu Toyota Vios mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Seorang penumpang wanita yang berada di bahagian belakang Honda Odyssey turut meninggal dunia ketika menerima rawatan awal di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, lima mangsa lain yang menaiki Honda Odyssey turut cedera dan dihantar ke Klinik Kesihatan Lenggong serta Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut.
Katanya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Gerik untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada waris.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN










