PETALING JAYA: Pelakon, Jazmy Juma, selamat bergelar suami kepada Farah Athirah Rozman dengan sekali lafaz dalam majlis akad nikah yang berlangsung secara tertutup pada Sabtu.
Walaupun majis hanya dihadiri keluarga terdekat, Jazmy atau Jazmy Khan Juma Khan, 31, turut berkongsi momen bahagia itu menerusi siaran langsung di akaun media sosial buat peminat.
Dalam majlis tersebut, pasangan berkenaan dinikahkan oleh Ustaz Haffizan Ibrahim yang berwakil walikan abang pengantin perempuan, Muhd. Azmeer Rozman.
Pelakon drama Hilang Dalam Rindu itu turut menyerahkan mas kahwin sebanyak RM555, namun jumlah wang hantaran tidak didedahkan.
Berkongsi detik perkenalan, Jazmy berkata hubungan mereka bermula menerusi media sosial sebelum berkembang menjadi persahabatan dan akhirnya cinta yang terjalin selama enam tahun.
“Kami kenal di media sosial. Selalu berbalas mesej dan berkawan. Hubungan itu kekal sehingga sekarang,” katanya ringkas kepada media.
Dalam pada itu, Jazmy mengakui tidak bimbang status baharunya sebagai suami akan menjejaskan sokongan peminat terhadap kerjaya seni yang semakin berkembang.
“Alhamdulillah, Allah memberikan peluang kepada saya untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami.
“Kenapa perlu takut kehilangan peminat? Saya percaya mereka akan terus memberikan sokongan,” katanya. -UTUSAN










