Kenaikan turut berlaku di Pantai Timur, utara - Utusan Malaysia

Kenaikan turut berlaku di Pantai Timur, utara

HARGA ayam segar di Pulau Pinang meningkat pada hujung Mei lalu apabila permintaan pengguna dikatakan bertambah berbanding hari biasa.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Harga ayam di daerah ini naik beberapa kali sejak seminggu sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha sehingga mencecah RM10.50 sekilogram, sebelum turun 30 sen sekilogram, semalam.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, penurunan tersebut sedikit-sebanyak memberi kelegaan kepada pengguna yang sebelum ini terkesan dengan kenaikan harga bahan mentah itu.

Peniaga, Zakaria Samsudin, 59, berkata, harga ayam sebelum ini meningkat secara berperingkat iaitu sebanyak 30 sen atau 40 sen setiap kali peningkatan.

Katanya, jumlah kenaikan itu mencecah sehingga RM1.40 dalam tempoh lima kali peningkatan disebabkan kenaikan kos operasi termasuk harga dedak dan pengangkutan.

“Selepas beberapa kali naik, sekarang harga turun sekitar 30 sen sekilogram. Walaupun penurunannya tidak begitu besar, sekurang-kurangnya pengguna dapat berjimat sedikit,” katanya ketika ditemui di Pasar Bandar Permaisuri di sini.

Di Pulau Pinang, harga ayam dilaporkan meningkat serentak dengan bermulanya musim cuti sekolah pada hujung Mei lalu apabila permintaan pengguna bertambah berbanding biasa.

Peniaga, Mohd. Nasir Abdul Kalam berkata, harga borong ayam yang diperoleh daripada pembekal ketika ini mencecah sekitar RM8 sekilogram berbanding RM7.80 sekilogram sebelum ini.

Menurutnya, kenaikan harga tersebut turut menyebabkan harga jualan runcit ayam meningkat antara RM10 hingga RM11 sekilogram bergantung kepada keadaan pasaran semasa.

Katanya, bagaimanapun peniaga tidak dimaklumkan secara terperinci oleh pemborong mengenai punca-punca kenaikan.

“Biasanya pemborong hanya memaklumkan harga baharu tanpa memberikan penjelasan lanjut mengenai sebab kenaikan tersebut,” katanya.

Di Kelantan, harga ayam meningkat sehingga RM1 sekilogram dalam tempoh seminggu kebelakangan ini, namun permintaan pengguna masih kekal bagi memenuhi keperluan harian keluarga.

Tinjauan di Pasar Siti Khadijah mendapati, ayam segar dijual antara RM9 hingga RM9.50 sekilogram berbanding RM7.90 hingga RM8.20 sekilogram sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha.

Peniaga, Mohd. Hakis Fauzi, 29, berkata, kenaikan itu dipengaruhi perbezaan saiz ayam yang lebih besar berbanding sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN