KUALA LUMPUR: Kemunculan dua legenda Rock tanah air iaitu Jo Branko dari kumpulan Barbarik dan Kid (Search) pada Konsert The Grand Slam Unplugged 2 malam ini menjadi antara perkara yang dinantikan peminat.
Menurut gitaris kumpulan Slam, Shahnizan Abdul Halim, 52, meskipun kedua-dua Rockers itu bermain untuk genre muzik berbeza, namun ianya tetap memberi impak apabila lagu-lagu mereka dimainkan secara unplugged pada malam ini.
“Kid dan Jo Branko terkenal dengan genre Rock. Jadi amat sesuai jika kami membawakan lagu-lagu mereka dalam versi ‘unplugged’.
“Kami sebenarnya tak sangka mereka terima pelawaan untuk beraksi dalam konsert ini. Mereka ini Rockers, berbeza dengan genre muzik yang dibawakan kumpulan Slam yang lebih ke arah pop. Tapi perbezaan genre muzik itu yang menampakkan konsert malam ini lebih menarik.
“Kami tidak sabar untuk menyampaikan lagu mereka. Lagu yang Jo Branko dan Kid persembahkan nanti memang rare. Bersama-sama menyampaikannya adalah impian saya selama berpuluh tahun,” katanya.
Malam ini, Slam bakal meraikan ulang tahun ke-30 kumpulan itu menerusi konsert mega yang bakal dipentaskan di Mega Star Arena, Sungai Wang.
20 buah lagu yang bakal dipersembahkan nanti digubah dengan susunan baharu dengan iringan orkestra. Selain Jo Branko dan Kid, turut membuat kemunculan adalah gitaris, Aznan Alias.
Shah dalam pada itu memaklumkan tahun ini adalah masa yang sesuai untuk menganjurkan konsert ulang tahun sementelah usia kumpulan itu yang sudah bertapak selama tiga dekad.
“Kebetulan sudah memasuki 30 tahun. Saya merasakan ini adalah masa yang sesuai untuk membuat konsert ulang tahun.
“Tahun lepas memang kami ada perancangan untuk menganjurkan konsert. Tapi hasrat itu tidak kesampaian kerana masing-masing ada komitmen peribadi.
“Jadi kenapa tidak tahun ini kami meraikan usia Slam yang ke-30 ini dengan sebuah konsert unplugged untuk peminat,” katanya lagi.
Disoal tentang perbezaan mengadakan konsert dulu berbanding sekarang, Shah memaklumkan kini lebih banyak kemudahan dan semakin banyak peluang untuk menganjurkan konsert mega.
“Keadaan dulu dengan sekarang amat berbeza. Sekarang ini lebih banyak peluang untuk membuat konsert dengan lokasi yang lebih besar dan kemudahan yang lebih baik,” ujarnya.
Sementara itu, Shah juga memberitahu tiket bagi konsert tersebut masih dijual dan berharap ia ada pembeli yang muncul di saat akhir untuk membuat pembelian.
“Tiket masih dijual, hanya tinggal 20 peratus sahaja lagi. Kami harapkan masih ramai pembeli (tiket) di saat akhir.
“Apa pun, untuk jumlah jualan tiket, kami sudah mencapai sasarannya Alhamdulillah,” kongsinya.










