Kelantan ungguli STPM, lahir pelajar terbaik negara

Kelantan ungguli STPM, lahir pelajar terbaik negara

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kelantan meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 apabila Pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.06 sekali gus mengatasi pencapaian nasional yang mencatat PNGK 2.88.

Lebih membanggakan, negeri ini turut melahirkan pelajar terbaik STPM peringkat kebangsaan selain tiga sekolah dinobatkan sebagai Pusat Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan 2025, sekali gus mengukuhkan status Kelantan sebagai antara kuasa pendidikan negara.

Timbalan Pengarah Pendidikan Kelantan (Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah), Azhan Anuar berkata, PNGK 3.06 yang dicatatkan itu meningkat 0.06 mata berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, daripada 3,568 calon yang mendaftar, seramai 3,289 calon atau 92.18 peratus hadir menduduki peperiksaan berkenaan.

“Seramai 160 calon atau 4.86 peratus memperoleh PNGK 4.00, meningkat 35 orang berbanding tahun 2024.

“Selain itu, peratusan calon yang memperoleh lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran turut meningkat kepada 86.9 peratus atau 2,858 calon berbanding 85.3 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya pada sidang akhbar Pengumuman Keputusan STPM 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Bilik Mesyuarat Asy-Syura, Sekolah Kebangsaan Padang Garong 1, di sini hari ini.

Azhan memberitahu, daripada 3,289 calon yang hadir, seramai 3,275 calon atau 99.57 peratus layak dianugerahkan Sijil STPM 2025.

Katanya, kecemerlangan Kelantan turut terserlah apabila Siti Maisarah Yahya Lotfi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Biji Wangsa, Tumpat diumumkan sebagai pelajar terbaik STPM 2025 peringkat kebangsaan dan menerima anugerah khas daripada Majlis Peperiksaan Malaysia di Selangor, hari ini.

“Tiga sekolah dari negeri ini iaitu SMK Tengku Panglima Raja, SMK Sultan Ibrahim (1) di Pasir Mas dan SMK Pengkalan Chepa (1) dinobatkan sebagai pusat Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan STPM 2025,” ujarnya.

Azhan berkata, pencapaian itu memperlihatkan Kelantan bukan sahaja berjaya mengatasi purata nasional, malah terus melakar dominasi di pentas pendidikan negara menerusi kecemerlangan pelajar dan institusi pendidikan Tingkatan Enam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN