Kedai keropok 32 tahun di Losong musnah terbakar

Kedai keropok 32 tahun di Losong musnah terbakar

ROHAMI Mohd. (kanan) melihat keadaan kedai keropoknya yang musnah dalam kebakaran i di Kampung Losong Haji Su, Kuala Terengganu, Terengganu. - UTUSAN/ERMA YUSNIDA JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang pemilik kedai keropok di Kampung Losong Haji Su di sini, berputih mata apabila premis perniagaan yang diusahakan keluarganya sejak 32 tahun lalu musnah dalam kebakaran, semalam dengan kerugian dianggarkan mencecah RM500,000.

Pemiliknya, Rohaimi Mohd., 43, berkata, kedai itu diambil alih daripada arwah bapa saudaranya sejak 12 tahun lalu.

Katanya, rutin hariannya memeriksa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dari rumahnya pada pukul 5.30 pagi mengesan kejadian kebakaran tersebut.

“Saya lihat rakaman CCTV dan mendapati keadaan dalam kedai gelap. Saya terus ke kedai kerana rumah saya di Kampung Losong Masjid tidak jauh dari premis ini.

“Apabila sampai, saya nampak asap keluar dari dalam kedai. Saya masuk ke pejabat untuk menutup suis utama dan cuba memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api namun api merebak dengan cepat,” katanya ketika ditemui di sini.

Rohaimi berkata, kebakaran itu memusnahkan stok keropok keping bernilai kira-kira RM100,000 dan keropok lekor vakum bernilai RM70,000.

Menurutnya, dua peti minuman yang baru dibeli minggu lalu turut musnah bersama 22 unit peti sejuk beku dan peti minuman yang digunakan untuk operasi perniagaan.

“Saya terima dugaan ini walaupun sedih melihat tempat mencari rezeki bersama empat pekerja musnah sekelip mata,” katanya.

Sementara itu, kakaknya, Roslina, 54, yang turut bekerja di premis tersebut berkata, adiknya seorang yang sangat cermat dan sentiasa memastikan keadaan kedai berada dalam keadaan selamat sebelum pulang.

“Dia memang teliti dan memeriksa semua suis serta peralatan sebelum menutup kedai setiap hari. Namun kejadian seperti ini tidak dapat dielakkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Thoyibbah Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.28 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu serta Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kota digerakkan ke lokasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN