KUANTAN: Kira-kira 200 pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Gebeng di sini, terpaksa diarah keluar dari asrama mereka selepas sebuah kilang pengurusan sisa industri yang terletak di belakang institut berkenaan terbakar, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 6.29 pagi itu menyebabkan satu sektor kilang musnah keseluruhan manakala satu lagi sektor rosak teruk.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd. Razam Taja Rahim berkata, langkah itu bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini sekiranya terdapat pencemaran udara kesan daripada kebakaran bahan sisa industri terbabit.
“Kebakaran melibatkan sisa bahan berjadual yang dipercayai mengandungi unsur asid serta bahan pelarut dan minyak buangan yang disimpan di kawasan proses kilang berkenaan.
“Bagaimanapun pasukan Hazmat telah ditempatkan di lokasi bagi mengawal dan memantau sekiranya ada unsur-unsur yang berbahaya dan memberi kesan tidak baik kepada orang ramai yang berada di sekitar kawasan ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Mohd. Razam berkata, operasi membabitkan 53 pegawai dan anggota JBPM negeri bersama pelbagai aset termasuk dua Light Fire Rescue Tender (LFRT), sebuah jentera Hazmat, dua water tanker dan sebuah unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) terlibat dalam operasi pemadaman.
“Kita turut dibantu pleh pasukan Gebeng Emergency Mutual Aid (GEMA), Bomba Pelabuhan Kuantan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadikan keseluruhan anggota terlibat seramai 112 orang.
“Keadaan berjaya dikawal pada pukul 8.25 pagi dan setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut. Unit forensik bomba telah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran serta jumlah kerugian yang dialami,” katanya. – UTUSAN










