Kalau buat lagu guna ‘prompt’, janganlah hantar bertanding - Aepul Roza - Utusan Malaysia

Kalau buat lagu guna ‘prompt’, janganlah hantar bertanding – Aepul Roza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Komposer dan penulis lagu, Aepul Roza, menegaskan lagu yang dihasilkan menggunakan janaan kecerdasan buatan (AI) tidak wajar dipertandingkan dalam mana-mana pertandingan muzik.

Menurut Aepul atau Noor Syaiful Mohd. Zalaludin, 37, individu yang menghasilkan lagu menerusi AI seharusnya sedar bahawa karya tersebut mungkin menghiburkan pendengar, namun tidak layak dinilai setaraf dengan hasil ciptaan penulis lagu sebenar.

“Kalau orang itu tahu dia buat lagu guna mesin sekadar ‘prompt’, janganlah hantar bertanding. Kenapa ya mereka buat begitu? Cukuplah sekadar dinikmati manusia lain. Janganlah hantar bertanding untuk dihargao sebagai penulis.

“Kepada prompter semua, sila sedar diri. Awak buat guna komputer, kenapa pula pergi hantar bertanding? Janganlah.

“Cukuplah sekadar lagu itu seronok di dengar sebab algorithm sangat bijak. Ia tahu apa yang manusia suka dan mahu ‘pancing’ mereka.

“Tapi apabila benda cepat ‘hook’, ia tidak akan bertahan selama berbelas-belas tahun. Kita akan cepat bosan dengan dia,” katanya.

Aepul berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Trilogi dan pelancaran lagu Gila di Astana Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM), pada Isnin.

Dalam pada itu, vokalis Drama Band tersebut berpendapat barisan juri perlu mempunyai ilmu dan kepakaran bagi menilai sama ada sesebuah lagu dihasilkan dengan bantuan AI atau sebaliknya.

“Sebagai komposer yang sudah mengkaji perisian AI, kita boleh faham ‘vocabulary’ yang dihasilkan. Dengar sekali pun sudah tahu ‘bau-bau’ AI. Sebab itu juri atau pihak penapis peribadi perlu ada ilmu ini supaya tidak terlepas lagu AI dalam pertandingan.

“Mana-mana juri perlu ada ilmu untuk kenal pasti sama ada lagu itu sebenarnya AI ataupun tidak. Perkara ini penting agar tidak terlepas masuk dalam radar pertandingan,” katanya.

Bagaimanapun, Aepul tidak menafikan bahawa teknologi untuk mengesan penggunaan AI dalam sesebuah lagu sudah tersedia, namun tahap ketepatannya masih belum mencapai 100 peratus.

“Tidak adil lagu AI masuk bertanding. Kita sudah ada perisian mengesan lagu AI, cuma tidak betul-betul membuat pengelasan adakah ditulis sepenuhnya oleh AI ataupun hanya menggunakan bahagian alat tali daripada ‘stems’.”

Terdahulu, sekretariat Anugerah Lagu Indie (ALI) mengesahkan terdapat satu lagi lagu yang berjaya melepasi senarai Top 90 menggunakan AI. Lagu berkenaan kemudiannya digugurkan dan digantikan dengan pencalonan baharu.

Fasa pengundian bagi pemilihan Top 90 ALI telah dibuka pada penghujung Mei lalu, manakala proses pencalonan dan penghantaran lagu ditutup pada 15 Mac 2026. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN