Kakak kesal komen negatif netizen

Kakak kesal komen negatif netizen

GAMBAR Jaslinda Saludin di Kem Batu Core yang dirakam pada 24 Mei lalu sebelum mangsa gagal dikesan pada tengah hari. – GAMBAR IHSAN JBPM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Kakak kepada Jaslinda Saludin, pendaki wanita yang masih hilang di Gunung Batu Putih di sini kesal terhadap pelbagai komen negatif segelintir netizen dalam media ­sosial berkait kehilangan adiknya.

Jasima Saludin, 52, berkata, antara komen negatif yang dia kesalkan ialah apabila kenya­taan bahawa adiknya mempunyai pengalaman 10 tahun mendaki, yang disalah tafsir sebagai kenyataan untuk mendabik dada.

Katanya, kenyataan itu ha­nya ingin memberitahu adik­nya memang ada pe­ngalaman mendaki tanpa ada sedikit pun rasa bangga.

“Ya, agak kecoh juga netizen apabila kami kata dia ada pengalaman 10 tahun mendaki, ada yang kata kenyataan itu berlagak.

“Kenyataan itu hanya kata pengalaman dia 10 tahun, sama juga apabila orang tanya berapa lama pengalaman bawa kereta. Kalau kita kata sudah 30 tahun bawa kereta, itu bukan bermaksud mendabik dada atau hendak berbangga.

“Kenyataan itu bukan bermakna kami hebat, kami bagus. Orang bertanya kami jawab. Kalau sudah hendak berlaku kemalangan, ia tetap berlaku walau sudah ada pe­ngalaman berpuluh tahun ada pengalaman memandu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jasima kesal kerana ba­nyak komen negatif terhadap adiknya sedangkan netizen tidak faham apa yang berlaku dan tidak berada di tempat mereka.

“Kami berdepan ujian berat susulan kehilangan adik dan keadaan itu menjadi lebih sukar apabila terpaksa membaca pelbagai komen negatif serta tuduhan tidak berasas di media sosial,” katanya.

Mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) adik­nya, Jasima berterima kasih kepada pihak berkuasa yang meneruskan pencarian walaupun dalam skala yang kecil.

Katanya, SAR yang hanya melibatkan anggota bomba, malim gunung dan komuniti Orang Asli setempat sudah cukup untuk memberi ­harapan dalam pencarian Jas­linda.

“Saya bersyukur dan sangat lega apabila pencarian adik saya diteruskan walaupun dalam skala kecil, kami amat berterima kasih kerana pencarian masih diteruskan.

“Pencarian ini tidak dihentikan sebaliknya diterus dan kami mengharapkan ada khabar gembira mengenai adik saya,” katanya.

Jasima percaya adiknya masih hidup dan harapan untuk menemukannya tetap ada walaupun operasi mencari sudah memasuki hari ke-13 hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×